Perlu perkukuh hubungan UMNO, orang Melayu
LAKUKAN perubahan drastik jika tidak mahu UMNO berkubur. Itu peringatan perwakilan dari Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Menurutnya, melihat perkembangan terkini hubungan orang Melayu dan UMNO tidak lagi menyakinkan berbanding di awal penubuhan parti itu.
Beliau berkata, realiti hubungan itu menjadi antara sebab utama UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15, November lalu.
“PRU15 menjadi petunjuk jelas, UMNO bukan lagi menjadi parti pilihan orang Melayu. Suka atau tidak, kita bukan lagi menjadi parti Melayu yang dapat memenangi kerusi terbanyak.
“Tiada lagi ikatan mesra antara UMNO dan orang Melayu, ini kita kena terima hakikat lihat di luar bandar mereka mula menolak kita begitu juga di bandar mereka sudah lama menolak kita.
“Lebih merumitkan semakin banyak parti Melayu muncul dengan usaha gigih mereka untuk menggantikan UMNO sama ada membenam atau menguburkan kita ini cukup jelas parti mempunyai pesaing yang ramai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dong itu berkata, UMNO semakin gagal mendekati dan menyakinkan orang Melayu walaupun parti itu yang memodenkan mereka dengan membawa keluar dari kampung ke kawasan luar bandar untuk mengubah hidup.
Lebih dikesali kata Fadzli, orang Melayu semakin percaya mereka tidak lagi memerlukan UMNO.
“Ramai orang Melayu di luar sana sudah membayangkan masa depan mereka tidak lagi perlukan MNO. Mereka semakin percaya parti tidak diperlukan bagi mewakili mereka,” ujarnya.
Justeru beliau berkata, jika perkara ini tidak diberikan perhatian secara serius dan jujur ia bakal memberi kesan yang sangat mendalam terhadap parti khususnya menghadapi PRU16 kelak.
Ujar beliau, banyak perubahan drastik secara total wajar difikirkan untuk dilakukan meliputi semua aspek termasuk gerak kerja yang dilakukan tidak lagi relevan pada masa kini.
“Kita perlu mendalami suasana media baharu yang perlu diberikan perhatian jika ingin memastikan UMNO kembali menjadi perhatian khususnya daripada orang Melayu,” ujarnya.
Selain itu katanya, pemimpin atasan seharusnya sedia menerima kritikan dan teguran dalam kalangan ahli akar umbi. – SM