fbpx
Politik

Kerajaan pintu belakang jijik – Patriot

PERSATUAN Patriot Kebangsaan (Patriot) tidak menyokong pakatan baharu dan menganggap kerajaan pintu belakang sebagai jijik.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, Patriot berkata, sebarang usaha mengkhianati mandat rakyat dengan membentuk kerajaan melalui ‘pintu belakang’ tidak boleh diterima.

Presidennya, Mohamed Arshad Raji, berkata perubahan kerajaan mestilah dibuat secara demokratik iaitu dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang mereka mahukan.

“Patriot berasa jijik dengan perkembangan terbaru politik dalam cubaan untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

“Seperti yang banyak dilaporkan Bersatu dan sebahagian ahli politik PKR cuba membentuk kerajaan baru bersama UMNO dan PAS.


“Ini adalah mengejutkan terutama hanya dua hari selepas Majlis Presiden PH mengisytiharkan isu penggantikan perdana menteri sudah selesai,” katanya.

Semalam, politik Malaysia dikejutkan dengan usaha menukar kerajaan apabila pemimpin parti politik utama negara – Bersatu, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan sebahagian pemimpin PKR ke istana negara.

Terlebih dulu ia dimulakan dengan mesyuarat Bersatu dan sebahagian pemimpin PKR yang diketuai oleh timbalan presidennya, Azmin Ali, dan sebelah petang disusuli dengan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Kemudiaannya pada sebelah malam di sebuah hotel di Petaling Jaya awalnya dijangka ada sidang media bagi mengumumkan pembentukan kerajaan baharu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengumuman dibuat, sebaliknya pemimpin parti-parti utama datang dan pulang tanpa memberi sebarang kenyataan kepada media, kecuali memberitahu mereka hadir untuk “makan malam” saja.

Presiden PKR Anwar Ibrahim malam tadi menyifatkan perkembangan politik tanah air yang berlaku itu sebagai satu “pengkhianatan”.

 

Show More

Related Articles

Back to top button