Nasional

Pastikan anak dapat pendidikan terbaik, pesan Alimuddin kepada masyarakat Mandailing

BEKAS Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menasihatkan masyarakat Mandailing agar tidak mengabaikan pendidikan anak-anak mereka dalam menghadapi cabaran semasa.

Alimuddin yang juga berketurunan Mandailing berkata, hanya dengan memberikan pendidikan terbaik mampu menjamin masa depan anak-anak masyarakat itu dalam arus perdana negara.

“Disebabkan saya ini datang daripada latarbelakang pendidikan, salah satu yang saya rasa sangat penting ialah memberikat pendidikan terbaik kepada anak-anak.

“Pastikan mereka mendapat pendidikan. Tidak boleh berhenti belajar. Inilah yang boleh mengubah masyarakat,” nasihat beliau.

Alimuddin berkata demikian dalam sesi perjumpaan dengan kira-kira 30 ahli masyarakat Mandailing baru-baru ini yang berlangsung di ladang solar berskala besar di Malaysia milik Gading Kencana Development Sdn. Bhd yang terletak di Bidor, Perak

Pertemuan itu dijayakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Gading Kencana, Datuk Ir. Guntor Tobeng  yang juga  berketurunan Mandailing.

Menurut Alimuddin, banyak peluang disediakan oleh kerajaan yang boleh direbut oleh anak-anak berketurunan Mandailing di Malaysia.

“Hari ini kalau kita lihat tak mungkin anak-anak kita jadi penggangur. Asalkan mereka rajin belajar dan mengambil tahu.

“Saya yakin kita akan terus berkembang maju. Jadi kalau anak-anak muda tidak ikut perkembangan kita akan ketinggalan,” kata Alimuddin.

Alimuddin turut memuji usaha masyarakat Mandailing yang berusaha mewujudkan rangkaian hubungan untuk mewujudkan kerjasama antara satu sama lain.

“Dalam kehidupan yang penting networking. Siapa yang awak kenal. Itulah yang boleh bawa kita ke depan. Jadi networking ini kita kena tingkatkan kerana ramai sebenarnya orang Mandailing yang berjaya.

“Kalau kita ada duit pun tak ada kepakaran tak jadi juga. Kalau ada kepakaran tidak ada networking tak boleh jalan juga. nak minta lesan, itu, ini. Dalam kehidupan zaman moden ini semua ini kena blend,” nasihat Alimuddin.

Alimuddin bersara sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada 6 November 2010. Beliau telah berkhidmat selama 34 tahun dalam dunia pendidikan.

Alimuddin kini merupakan Pengerusi Penasihat Arkib Negara selepas dilantik baru-baru ini.

Masyarakat Mandailing berhijrah secara besar-besaran ke Tanah Melayu ketika Perang Padri yang berlaku di wilayah itu dari dari 1803 hingga 1838.

Selepas beberapa abad, kaum Mandailing telah bertebaran di Malaysia terutama di Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Dianggarkan ketika ini terdapat lebih 100,000 keturunan orang Mandailing di negara ini yang bermastautin di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.-SM

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button