Rencah Hidup

Nikah anak: Pemilik syarikat ladang solar, Guntor Tobeng mohon maaf

PEMILIK syarikat tenaga solar swasta terbesar Malaysia, Datuk Ir. Guntor Tobeng meminta maaf kepada saudara mara dan rakan taulan yang tidak dijemput hadir pada majlis pernikahan dan persandingan anak lelaki dan menantu pertamanya hari ini.

Menurut Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd itu, dia terpaksa menghadkan jemputan tetamu seramai 250 orang sahaja berikutan syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ahmad Akram dan Jahirah.

Ahmad Akram yang merupakan satu-satunya anak lelaki Guntor bersama isterinya Datin Hasnah Awang dinikahkan dengan gadis pilihannya, Jahirah Mohd. Johari di Shah Alam, Selangor.

“Kita serba salah sama ada nak buat kenduri besar atau nak buat kenduri kecil. Kwan-kawan ramai, adik beradik ramai. Panggil salah tak panggilpun salah. Kanak-kanak tak boleh, orang tua pun tak boleh jadi saya serba salah.

“Jadi saya serahkan pada isteri. Saya minta maaf kepada adik beradik dan kawan-kawan yang mana tidak dapat kita jemput, tak dapat kita kumpulkan hari ini. Insya-Allah kita akan buat satu lagi program lain bila suasananya lebih selesa, lebih selamat kita akan buat,” kata Guntor dalam ucapannya.

Guntor berkata, PKP mendatangkan banyak kesukaran kepada bakal penganti seperti tidak dapat menghadiri kursus perkahwinan dan urusan mendapatkan permit pernikahan yang agak mengelirukan.

Gading Kencana mempunyai ladang solar photovoltaic berskala besar (LSSPV) 30 megawatt (MW) seluas 39.65 hektar di Bidor, Perak yang telah beroperasi tahun lalu.

Gading Kencana juga mempunyai ladang solar panel seluas tujuh hektar di Bandar Hijau Hang Tuah Jaya di Melaka yang menjana tenaga solar 11.5 juta kilowatt (kW) setahun dan beroperasi sejak Disember 2014.

Majlis pernikahan Ahmad Akram dan Jahirah berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan hanya boleh dihadiri oleh 15 orang tetamu.

Ahmad Akram yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik hanya melafazkan satu akad dihadapan Imam Khairul Anuar Mulin dengan diwalikan oleh bapa saudara pengantin wanita, Mohd. Roslan Abd. Karim.

Upacara persandingan yang sederhana tetapi meriah itu berlangsung di Hotel Concorde dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai penutup mulut, mengamalkan penjarakan sosial dan menyediakan cecair nyah kuman sebagai cenderahati kepada tetamu yang dibuat sendiri oleh pengantin wanita.

Ibu Ahmad Akram  gembira dengan pernikahan itu kerana memperolehi menantu yang baik serta pandai membuat kek, biskut dan makanan lain.

“Dia pandai masak kek. Sedap. Masa hari jadi saya dia buat pavlova memang saya nak makan pavlova. Dia juga banyak buat biskut dan menghantarnya kepada saya.

“Malah masa hari raya pun banyak kuih raya dia buat dan hantar ke rumah. Masa buka puasa dia juga masak juadah. Dia banya belajar memasak daripada mak dia,” kata Hasnah.

Guntor dan Hasnah berharap Ahmad Akram yang merupakan Juruterbang di Malaysia Airlines Berhad dan Jahirah yang bekerja sebagai Jurutera Kapal Terbang di syarikat yang sama dapat memberikan cucu yang ramai dan bahagia dalam perkahwinan mereka.

Sementara itu Ahmad Akram yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik berkata, cintanya kepada  Jahirah yang merupakan anak tunggal adalah cinta pandang pertama.

“Mula-mula berjumpa ketika berkerja. Saya ada penerbangan bersama Kapten Mohd. Arif Ibrahim. Ketika saya berjalan menuju ke kapal terbang saya terserempak dengan Jahirah. Rupa-rupanya dia anak saudara Kapten Arif.

“Bila berbual rupanya kami tinggal di kawasan kejiranan yang sama. Dari situlah berputih kasih sayang,” kata Ahmad Akram.

Sementara Jahirah pula berkata, Ahmad Akram berusaha untuk menghubunginya melalui media sosial walaupun mereka bekerja di syarikat yang sama.

“Dia bawa kapal terbang, manakala saya pula isi minyak kapal terbang yang dia bawa. Dia minta Instagram. Saya tak beri.

“Dia berusaha cari Instagram saya melalui Instagram pak cik saya. Macam itulah dihubungi saya,” kata Jahirah.

Mereka bersyukur walaupun banyak halangan yang terpaksa ditempuhi berikutan virus Covid-19 dan PKP termasuk terpaksa melakukan kursus perkahwinan secara atas talian namun akhirnya mereka dapat bersatu hari ini.-SM

(Visited 2,495 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button