Belang Bertempat

Yang saya ingat Almarhum Sultan Kelantan, Perlis, Negeri Sembilan tak setuju pindaan 1993 – Rais

Pindaan perlembagaan pada 1993 yang menyentuh kedaulatan Raja-raja Melayu dari aspek kekebalan boleh diibuat kajian semula sama ada ia bercanggah dengan prinsip Majlis Raja-Raja, sekali gus perlembagaan.

Pakar perlembagaan dan undang-undang, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Perkara 181 dalam perlembagaan menyatakan kedaulatan raja-raja Melayu adalah muktamad iaitu tidak boleh disaman atau dihadapkan ke mahkamah.

Selepas 1993 melalui pindaan perlembagaan semasa pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, raja boleh disaman sekiranya melakukan sesuatu jenayah kecil atau besar asalkan Peguam Negara memberi perakuan.

“Pada hemat saya, boleh (dikaji semula). Dan di bawah kuat kuasa Perlembagaan dengan Mahkamah Persekutuan boleh membuat review atau ulangkaji kepada kes tersebut dan membuat keputusan atau pandangan judicial terhadap peruntukan dan perkara-perkara yang telah dibuat kepada Raja-raja Melayu itu. Jadi, ini berkait hal dengan Perkara 181, 182 Perlembagaan. Alhamdulillah saya ingat sebab saya terlibat dan saya memang pengkaji Perlembagaan.


“Saya mengatakan, kalau dibawa balik peristiwa itu dengan memadankan minit Majlis Raja-Raja, saya fikir Tun Mahathir mungkin kena menghuraikan beberapa persoalan terhadap raja-raja Melayu yang kini sudah hilang sebahagian kekebalan mereka dari sudut undang-undang,” kata beliau dipetik dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia disiarkan hari ini.

Rais yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu berkata, cara Dr. Mahathir mengetepikan beberapa aspek kedaulatan Raja-raja Melayu tidak pernah dibuat analisis kembali.

“Misalnya, adakah Minit mesyuarat Majlis Raja-Raja dipadankan? Ini penting untuk menentukan bahawa keputusan Majlis Raja-Raja pada tahun 1993 itu mengesahkan perbuatan pindaan perlembagaan 1993?

“Saya berpendapat, kalau diambil semula minit tahun 1993, satu ledakan besar mungkin berlaku. Tapi itu bab lainlah, kini kerana peristiwa itu sudah melebihi dua dekad.

“Masa itu, saya berdepan dengan sembilan orang raja Melayu di Bukit Istana Negeri Sembilan. Saya semasa itu Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46 memberi taklimat dan mengesyorkan pindaan itu tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Ditanya jika pindaan pada 1993 itu memerlukan dua pertiga undi di Parlimen jika ada usaha mengembalikannya semula hari ini, Rais berkata:
“Ya. Ia juga boleh dibawa dan boleh dipersaksikan semula. Ambil minit Majlis Raja-Raja, bersetuju atau tidak Majlis Raja-Raja sebenarnya?

“Yang saya ingat, Almarhum Sultan Kelantan tidak setuju. Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan juga tidak berkenan. Almarhum Raja Perlis juga tidak berkenan. Jadi saya tidak dapat melihat minit yang kononnya sudah dimuktamadkan. Tapi itu kisah lama yang berlaku pada tahun 1993.”-SM

(Visited 383 times, 3 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button