Nasional

Pasca 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia Kementah esok

KEMENTERIAN Pertahanan (Kementah) merancang sambutan pasca 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia esok, dengan mengkaji dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun depan melalui Pelan Tindakan 2022.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tumpuan akan diberikan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Katanya, rancangan itu membabitkan semua  cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai perancangan jangka panjang yang khusus.

“Keupayaan MINDEF dan ATM menjayakan perancangan 100 hari ini amat baik, namun kita tidak boleh cepat berpuas hati. MINDEF sebuah kementerian yang besar.

“Ia mempunyai 120,000 anggota tetap, 51,000 anggota simpanan, 10,500 warga awam, 270,000 anak anggota, 204,020 veteran ATM berdaftar, 38 sekolah dan lima hospital ATM, selainkira-kira 30 juta rakyat serta sebuah negara berdaulat yang perlu dijaga keselamatan dan keamanannya.

“Sebab itu, pagi ini saya ingin maklumkan bahawa biarpun hari ini kita bercakap mengenai pencapaian 100 hari dan tanpa melengahkan masa, esok MINDEF akan memulakan perancangan pasca 100 harinya dan Insya-Allah saya sendiri akan melihat apakah dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan,” katanya.  ketika berucap pada program Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Pertama Pentadbiran Menteri Kanan Pertahanan di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Menurut Hishammuddin, walaupun pencapaian 100 hari tidak boleh menjadi ukuran kecemerlangan kementerian secara keseluruhan, tetapi ia boleh menjadi pemangkin kepada setiap inisiatif di bawah perancangan yang merangkumi tempoh jangka masa lebih 100 hari.

Katanya, tidak ada satu hari pun dalam 100 hari pertama beliau di Kementah dilalui dengan mudah.

“Namun, inilah keistimewaan serta kekuatan warga MINDEF dan ATM yang sanggup bekerja tanpa mengira waktu, berkorban masa untuk bersama ahli keluarga dan berani berhadapan apa jua ancaman.

“Saya yakin dengan perancangan rapi, disiplin tinggi dan struktur tersusun, kita boleh lakukannya. Saya beri jaminan selagi saya Menteri Pertahanan, saya akan bersama dalam setiap langkah perjuangan Kementah dan ATM,” katanya.

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button