Politik

Parlimen Tambun tidak perlu wakil rakyat dari luar

IPOH 13 Nov. – Parlimen Tambun bukanlah kerusi eksperimen apatah lagi hendak dijadikan sebagai persinggahan politik pada mana-mana calon yang bertanding.

Justeru, jangan jadikan rakyat di Tambun sebagai mangsa hanya kerana ingin mengekalkan kedudukan dan kuasa dalam politik sebaliknya bukan untuk berkhidmat.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Hanafiah berkata, empat tahun Tambun ketinggalan apabila tiada kemajuan dibawa ke sini.

Katanya, pihak pembangkang sekarang tidak berani menjanjikan apa-apa setelah gagal melunaskan apa dijanjikan ketika menjadi kerajaan selama 22 tahun.

“Memang itu benchmark mereka kepada rakyat. Sebelum itu mereka berjanji dan rayu diberi peluang tetapi selepas itu tiada janji ditunaikan.

“Sebaliknya kita BN dah sinonim dengan itu untuk menjadi wakil rakyat yang mengutamakan khidmat,” ujarnya.

Selain Aminuddin, dua lagi calon BN di Tambun ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Datuk Mazlan Abdul Rahman (DUN Hulu Kinta) dan Datuk Azizul Kama Abd Aziz (DUN Manjoi).

Ketiga-tiga mereka merupakan pemimpin lama dan anak tempatan yang sentiasa ada di sana pada sebilang masa.

Mereka bukanlah calon luar yang cuma melihat Tambun daripada sudut politik demi memperkuatkan pengaruh sahaja.

Aminuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tambun berkata, BN sememangnya diketahui sebagai parti yang mengutamakan politik khidmat dan bukan retorik.

“Apabila rakyat membuat pilihan sudah semestinya mereka mahu individu yang dipilih itu sentiasa turun padang selaku wakil rakyat.

“Itu adalah sesuatu yang sinonim pada BN apabila calonnya dipilih menjadi wakil rakyat.

“Apabila berlaku sesuatu, kita wakil rakyat BN akan dipanggil dahulu. Jika tak nampak rakyat akan bertanya,” ujarnya.

Justeru, beliau yakin rakyat di Parlimen Tambun boleh menilai dan menentukan wakil rakyat yang mereka inginkan untuk memberikan khidmat serta kestabilan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button