KAPAL Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) turut berada di dalam kelompok 15 buah Kapal Maritim (KM) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kini sedang melakukan fasa sea trial terhadap OPV1 dan ia kini belayar memasuki kawasan Pulau Pinang bersama-sama kapal lain.
Katanya lagi, penyertaan kapal berkenaan dalam eksesais yang dilaksanakan oleh Agensi ini adalah bertepatan dengan matlamat bagi menguji kemampuan sepenuhnya OPV1 sebelum ia diserahkan secara rasmi kepada Maritim Malaysia.
Tambah beliau, kapal yang berada dalam fasa sea trial itu bakal diuji selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang dan akan tiba di Pulau Langkawi.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja di atas KM Pekan bagi memantau kesiagaan semua kapal dan anggota-anggota penguat kuasa yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
Turut bersama pada sesi lawatan kerja berkenaan Pengarah Ekesais, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah dan Pegawai Pemerintah KM Pekan, Kepten Maritim Mohd Yusri Hussin.
OPV1 bernombor 8305 ini berukuran 83meter panjang dengan lebar 13.7meter berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.
Ia juga dilengkapi dengan UAV, Meriam 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.
Buat masa ini OPV1 masih belum diserah kepada APMM secara rasmi dan masih dikendalikan pihak limbungan. Meskipun begitu, OPV1 mengambil kesempatan menyertai dan dilibatkan di dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 yang dilaksanakan di Perairan Selat Melaka bagi menguji tahap keupayaan pelayaran dan kapal.
Terdahulu pada sesi lawatan tersebut, Datuk Hamid menyatakan harapan beliau agar kesemua kapal yang mengikuti eksesais pada kali ini mencapai tahap yang dihasratkan selain ia dapat meningkatkan kompetensi hampir 500 orang pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang menyertai eksesais ini di samping mereka bersedia dengan keadaan operasi sebenar di masa akan datang. – SM