Luar NegaraPenyakit

Obses pembedahan plastik, wanita akur dengan penampilannya selepas sakit

SELEPAS menjalani pembedahan plastik selama 59 kali, seorang wanita dari Austin, Texas perlu akur dengan penampilannya selepas didiagnosis dengan fibromyalgia iaitu penyakit menyakitkan yang menyebabkan berat badannya bertambah.

Menurut Daily Star, Jenny Lee Burton telah menjalani 26 pembedahan plastik pada usia 29 tahun termasuk implan bibir, pembesaran payudara dan liposuction.

Menurut Burton, obsesi terhadap kesempurnaan dan perjuangan dengan keyakinan dirinya bermula ketika dia masih muda kerana dia selalu bergelut untuk menerima penampilan dirinya.

“Saya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk dapatkan penerimaan daripada orang lain. Tetapi apabila saya melihat pantulan diri saya di cermin, saya masih tidak menyukai apa yang saya lihat.

“Jika saya boleh baik-baik saja dengannya, saya akan sangat gembira,” katanya.


Sejak menghidap fibromyalgia, Burton berkata dia mengalami kesakitan yang berterusan sepanjang masa.

“Pada mulanya keyakinan diri saya mengalami tamparan hebat.

“Apabila saya melihat semula gambar saya ketika masih kurus, ketika itulah baru saya sedar yang sayalah yang paling sihat dan gembira pada masa itu dan saya sangat merindui hari-hari itu.

“Saya terpaksa benar-benar menerima hakikat bahawa untuk sekali dalam hidup saya, saya tidak dapat mengawal badan saya,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata obsesinya terhadap prosedur pembedahan turut memberi kesan kepada anak sulungnya, Kaleigh.

“Sepanjang hidupnya, saya telah menjalani pembedahan plastik, jadi dia tidak tahu rupa semula jadi saya.

“Apabila anak perempuan saya melihat gambar saya sebelum saya menjalani sebarang pembedahan, dia tidak menyedari bahawa itu adalah saya. Rupa kami pun tidak serupa,” katanya. – SM

(Visited 149 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button