Nasional

Buka sempadan hidupkan semula pelancongan perubatan

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sempadan hanya akan dibuka semula selepas perbincangan dilakukan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Imigresen.

Semalam, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan.

Bagaimanapun Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Hari ini, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyokong cadangan kerajaan untuk membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac depan.

Presiden APHM, Dr Kuljit Singh berkata, ini akan membolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan sejak tertangguh bermula awal 2020 memandangkan pelancongan perubatan menjana pendapatan sebanyak RM1.7 bilion pada 2019.

“Persatuan ini mempunyai 151 ahli hospital di seluruh negara dan kebanyakannya merawat pelancong perubatan, khususnya dari negara jiran.

“Bagaimanapun hospital swasta akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) secara ketat dengan melakukan saringan sebelum menerima mereka untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kuljit berkata, hospital swasta juga bersedia menerima pesakit yang dipindahkan dari hospital kerajaan sekiranya terdapat peningkatan pesakit yang tidak dijangka akibat varian Omicron di kemudahan kerajaan.

Katanya lagi, hospital swasta akan terus menyokong kerajaan bagi meringankan beban kerana ia telah dimasukkan menjadi sebahagian daripada Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Covid-19 Kebangsaan.

“APHM juga menggesa orang ramai supaya mendapatkan suntikan dos penggalak seawal mungkin dan terdapat beberapa hospital swasta yang ketika ini membantu menyediakan suntikan itu.
“Hospital swasta juga akan membantu dalam pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun tidak lama lagi,” jelasnya.

Menurut beliau, terbukti di seluruh dunia bahawa vaksinasi lengkap dengan dos penggalak mengurangkan tahap keseriusan pandemik dan telah menggalakkan pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa. – SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button