Nasional

Normal Baharu Covid-19: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-36 bermula hari ini

Persidangan serentak dan perasmian dilakukan secara maya di Facebook

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-36 bermula hari ini dengan para pemimpin berkumpul di 10 bandar di rantau ini buat pertama kalinya menerusi persidangan secara maya susulan pandemik COVID-19.

Pengerusi ASEAN bagi 2020, Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc mempengerusikan upacara pembukaan sidang kemuncak itu di Hanoi yang disertai pemimpin-pemimpin lain di negara masing-masing.

Delegasi Malaysia, diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai sidang kemuncak tersebut dari Putrajaya.

Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Upacara pembukaan di Hanoi yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook antara lain, persembahan tradisional dan koir lagu rasmi ASEAN.

Dalam ucapan perasmian, Xuan Phuc mengalu-alukan para pemimpin ke sidang kemuncak itu dan menerangkan mengenai hasil positif rantau itu dalam pengurusan Covid-19  yang boleh dipupuk melalui semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh negara-negara anggota.

“ASEAN telah mengambil tindakan tepat pada masanya sebagai komuniti yang responsif dan bersatu. Jaringan tindak balas kecemasan kesihatan dan kerjasama dengan rakan anggota diaktifkan sejak hari pertama lagi. Negara-negara ASEAN telah terlibat dalam perkongsian maklumat aktif dalam koordinasi dan kawalan penyakit.

“Hasil komitmen peringkat tertinggi dan pendekatan komprehensif yang kukuh di peringkat nasional dan serantau, ASEAN secara keseluruhannya telah mewujudkan kekuatan kelompok bersepadu yang penuh semangat perkongsian dan prihatin,” katanya.

Ditubuhkan pada 1967, ASEAN terdiri daripada 10 negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam. – BERNAMA

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button