fbpx
Nasional

NGO jangan sedap bercakap, disarankan sama-sama turun padang

Lantang mengecam penguatkuasa menangani isu PATI

SEKADAR bergebang memang senang. Apatah lagi menunding jari kea rah agensi penguatkuasa untuk mengangkat sesuatu isu sedangkan usaha berterusan yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa dan agensi berkaitan tidak pernah mengenal erti jerih.

Di Malaysia memang terdapat banyak pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai perkara.

APMM tahan 10 PATI dalam operasi di perairan Selangor | Jenayah ...

Tidak terkecuali NGO yang lantang bersuara mengecam agensi penguatkuasa dan kerajaan hari ini berhubung isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menceroboh masuk ke dalam negara menerusi pintu-pintu sempadan.

Seperti mana mukadimah bicara, bercakap itu mudah tetapi apa kata pihak NGO sendiri yang turun padang dan melihat dengan mata kepala sendiri, apakah implikasi buruk ekoran pencerobohan PATI.


Kesan buruk terutamanya dari sudut pandangan kedaulatan negara dan bukannya berpasak kepada memperjuangkan hak PATI dan diselit dengan sentiment kemanusiaan di media-media sosial.

Ada benarnya apabila Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah menyarankan kepada pihak NGO, turun padang untuk melihat sendiri implikasi negatif yang dibawa oleh pencerobohan secara haram PATI.

Rasional Aris Adi  menyarankan demikian, ia pasti akan membuka mata masyarakat dalam memberikan gambaran sebenar, impak negatif kemasukan pendatang tanpa izin ke atas negara kita kerana pihak NGO mempunyai khalayak penyokong yang ramai dan berpengaruh.

Beliau berkata kepada BERNAMA, NGO perlu merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang kenyataan.

Dalam erti kata lain, NGO jangan sembrono dan yang paling penting dalam dunia hari ini ialah tidak menularkan berita yang tidak tepat kepada khalayak kerana itu akan mengundang persepsi negatif terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.

“Selain itu, sebagai entiti (NGO) yang didengari di persada antarabangsa, mereka diseru meraih perhatian komuniti antarabangsa terutamanya negara jiran agar bekerjasama dalam menangani masalah pendatang tanpa izin secara bersepadu,” katanya baru-baru ini.

Aris berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir NGO yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka di media sosial berhubung kaedah dan langkah kerajaan dalam mengendalikan pendatang tanpa izin.

Beliau menambah, pihak NGO perlu mengetahui bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkuasa yang lain ditugaskan untuk menjaga keselamatan negara dan perlu memberi pelindungan kepada rakyat daripada segala bahaya termasuklah wabak COVID-19.

“Sebenarnya objektif NTF dan NGO adalah sama. Bukan persaingan, suara siapa lebih lantang?

“Kita boleh bekerjasama cuma keutamaan berbeza. Yang beruniform ada misi mereka manakala NGO pula, mempunyai penyokong serta mempunyai fungsinya yang tersendiri,” ulas Aris.

Untuk makluman, Aris memberitahu, NTF tidak sewenang-wenangnya mengusir pendatang tanpa izin memandangkan golongan ini mempunyai pelbagai taktik bagi memastikan mereka tidak dihantar pulang ke negara asal sekiranya ditahan.

GAMBAR SIAKAP KELI/APMM JUMPA MAYAT WANITA DALAM BOT PATI ROHINGYA YANG DITAHAN CUBA CEROBOH PERAIRAN LANGKAWI

Aris berkata, “saya ingin mengambil contoh kes penangkapan Rohingya di perairan Langkawi baru-baru ini.

“Bot yang membawa 269 pendatang tanpa izin bersama mayat seorang wanita itu didapati sengaja dirosakkan menyebabkan NTF menerusi keputusan Majlis Keselamatan Negara, tidak meneruskan pengusiran.

 

“Disebabkan itu, Malaysia terpaksa menanggung beban kos melakukan ujian saringan COVID-19 selain daripada menyediakan tempat tahanan sementara untuk mereka di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.

“Sebelum ketibaan pendatang tanpa izin ini di perairan negara, mereka perlu melalui beberapa negara lain tetapi mengapa NGO-NGO ini tidak menyalahkan negara serantau kerana tidak mengambil tindakan awal seperti menyekat bot-bot asing ini?

“Setelah tindakan pengusiran dibuat oleh kerajaan, NGO-NGO berkenaan lantang bersuara mengenai kemanusiaan dan menidakkan kepentingan rakyat Malaysia sendiri,” kata Aris dalam memberikan pecerahan supaya apa yang telah berlaku itu, dihadam oleh pihak NGO dan khalayak.

Sebelum ini, tular di media sosial terdapat beberapa NGO yang mempersoal dan menyalahkan kaedah serta langkah yang diambil oleh pihak kerajaan Malaysia dalam menguruskan pencerobohan pendatang tanpa izin.

Perbuatan pendatang asing tanpa izin menceroboh masuk ke negara kita perlu dihentikan dan ditangani segera agar Malaysia tidak dilimpahi dengan kelompok PATI pada masa akan datang. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button