Politik

DAP, Amanah mampu tunggu Anwar jadi PM-10

DAP dan Amanah mampu untuk menunggu enam bulan lagi untuk melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi perdana menteri ke-10.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, parti itu konsisten menyokong  Anwar sebagai calon perdana menteri sejak tahun 1998 dan akan terus berbuat demikian.

“Dengan latar senario politik semasa, satu-satunya pilihan yang realistik untuk berjaya adalah dengan menggabungkan kekuatan kesemua lima parti iaitu PKR, Amanah dan DAP daripada Pakatan Harapan serta Warisan dan kelompok penyokong Tun Mahathir dalam Bersatu.

“Perjalanan politik ini telah mengambil masa 22 tahun, justeru kita mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Datuk Seri Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

“Peralihan 6 bulan ini akan didokumenkan secara bertulis, ditandatangani kesemua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, mereka turut menegaskan adalah tidak adil untuk mereka dilabelkan gila kuasa dalam isu tersebut.

Jelas mereka, DAP dan Amanah telah berusaha keras sepanjang tiga bulan lalu untuk mencari titik persamaan yang dapat diterima semua pihak. Malangnya usaha tersebut belum berjaya.

“Dalam usaha menghormati mandat pilihan raya yang diberikan rakyat untuk menukar kerajaan pada PRU 2018, ada pihak mengambil peluang melabel kami sebagai gila kuasa.

“Kami telah dikritik kerana lambat bertindak menuntut kembali mandat rakyat, tetapi apabila laluan yang realistik ditemukan, kami dikritik pula kononnya gila kuasa.

“Ini tidak adil kerana walaupun kami tidak gentar menjadi pembangkang, rakyat telah mengundi pada tahun 2018 supaya kami mengambil alih kerajaan,” kata mereka.

Justeru mereka berharap PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Warisan tidak akan semakin menjauh bahkan terus merapat dan bersatu-padu.

Jelas mereka, melihat diri masing-masing sebagai musuh dan bukan rakan sekutu tidak akan membantu perjuangan rakyat bahkan hanya membantu mereka yang telah menumbangkan sebuah kerajaan sah yang dipilih rakyat, dengan sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat. –SM

(Visited 109 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button