Sukan

Neo Group juara golf antara jabatan Perlis

Neo Group dengan 339 mata muncul juara keseluruhan dan juga juara bagi ‘Kategori Swasta’ manakala Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ‘A’ pula berjaya menjadi johan bagi ‘Kategori Jabatan Serta Agensi Negeri dan Persekutuan’ dalam ‘Pertandingan Golf Antara Jabatan Negeri Perlis 2020’ yang dianjurkan oleh Kelab Golf Putra (KGP) Perlis buat julung kalinya.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Presiden di Rumah Kelab KGP di Sungai Batu Pahat pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Kapten, Setiausaha Kehormat dan Bendahari kelab iaitu Kassim Osman, Hamidon Abdul Hamid dan Mohd Asri Othman.

Hadir sama ke majlis yang turut meraikan sambutan ulangtahun hari keputeraan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang ke 53 pada 30 Disember baru-baru ini itu ialah Naib-Naib Presiden Kelab Golf Putra Perlis, Azman Mohd Yusof, Hamizan Hasan dan Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad.

Kejohanan dianjurkan oleh Kelab Golf Putra Perlis ini adalah atas cetusan idea Tuanku Raja Muda sendiri. Ia berjaya menarik penyertaan sebanyak 17 pasukan dan melibatkan hampir 100 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan yang di adakan secara liga pada 3 Disember 2020, 6 Disember 2020 dan 3 Januari 2021.

Antara pemenang lain yang menerima hadiah masing-masing ialah bagi ‘Kategori Jabatan Serta Agensi Negeri dan Persekutuan’ iaitu di tempat kedua: Majlis Perbandaran Kangar (335 mata), ketiga: Jabatan Pengairan dan Saliran (329 mata), keempat: UniMAP ‘B’ (327 mata) dan
kelima: Jabatan Kerja Raya (326 mata).

Sementara itu bagi ‘Kategori Swasta’ pula
FMG dengan 333 mata mendapat tempat kedua dan Teknologi Tenaga Perlis Consortium – TTPC (332 mata) di tempat ke tiga.

Hamizan memaklumkan bagi edisi tahun 2021 ini pula bermula awal Februari sehingga sebelum tibanya bulan Ramadan yang akan datang ini akan dilangsungkan dua pertandingan yang berbeza melibatkan ‘Kategori Swasta’ dan kemudiannya terus disusuli dengan ‘Kategori Jabatan Serta Agensi Negeri dan Persekutuan’. Kejohanan kali ini akan diperkemas serta dipermantapkan lagi dan diharapkan akan ada lebih banyak lagi pasukan baharu yang akan mengambil bahagian.

Kelab Golf Putra Perlis mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli baru berkecimpung dalam sukan golf. Bagi yang berminat untuk mendaftarkan diri menjadi ahli bolehlah datang mendapatkan maklumat lanjut daripada pejabat di rumah kelab.

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button