Politik

Beli ahli: UMNO wajib lapor SPRM – AMK

UMNO digesa supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membayar ahli UMNO untuk menyertai PPBM.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia Akmal Nasir berkata, pihaknya terpanggil untuk menyatakan pandangan demi tanggungjawab untuk melihat gerakan politik orang muda mempelopori budaya politik yang berintegriti dan berprinsip.

“Tiada yang luar biasa bagi parti pengkhianat untuk terus mengkhianati serta melakukan sogokan, dan saya tidak berminat untuk mengulas persengketaan terbuka UMNO-PPBM yang seperti tiada penghujungnya.

“Tambahan pula semua sedia maklum bahawa matlamat penubuhan PPBM sememangnya mahu melemahkan dan menggantikan UMNO.

“Namun apabila melibatkan soal integriti, Angkatan Muda Keadilan (AMK) terpanggil untuk menyatakan pandangan demi tanggungjawab untuk melihat gerakan politik orang muda mempelopori budaya politik yang berintegriti dan berprinsip, dan terhindar dari elemen rasuah dan salah guna kuasa,” kata Akmal.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ahli parti itu yang menyertai PPBM akan dibayar sehingga RM100 dan setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 hingga RM5,000.

Pergerakan Pemuda UMNO mendesak PPBM agar menghentikan segera sebarang usaha untuk bersaing ahli di antara satu sama lain jika mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dakwaan Ketua Pemuda UMNO bahawa beliau mempunyai bukti yang kukuh hanya telah mengesahkan bahawa budaya politik wang kembali mekar dan amat mendukacitakan apabila amalan kotor ini melibatkan parti-parti politik yang berselindung disebalik sentimen agama dan bangsa.

“AMK menasihatkan agar sebarang dakwaan sogokan perlu dilaporkan segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa perlu menunggu diugut untuk disaman oleh satu pihak lagi seperti yang dinyatakan Ketua Penerangan PPBM.

“Ini selaras dengan perkara 25 (1) Akta SPRM yang menyatakan tentang kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan.,” kata Akmal.-SM

 

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button