Politik

Negeri Sembilan sasar capai miskin tegar sifar hujung bulan

Negeri Sembilan akan mencapai sifar miskin tegar menjelang hujung bulan ini, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, ini ekoran pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program bersama agensi berkaitan seperti Pejabat Pembangunan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal selain kerjasama dengan beberapa syarikat bagi menyediakan pekerjaan kepada kelompok berkenaan.

“Insya-Allah, kita akan keluarkan baki 77 ketua isi rumah (KIR) daripada kategori miskin tegar. Bagi tahun ini kita ada 1,697 ketua isi rumah berstatus miskin tegar. Jumlah 77 KIR itu ada yang daripada tahun lepas namun tersenarai semula tahun ini.
“Pada tahun ini juga, kita jalankan pusat kitar semula pandu laju di kawasan komuniti iaitu program kitar semula barangan termasuk minyak masak, sedikit sebanyak akan bantu tambah pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu
Aminuddin juga memberitahu, satu jawatankuasa khas menangani isu ancaman pencemaran terhadap Sungai Linggi yang dianggotai wakil rakyat bersama jabatan dan agensi berkaitan akan diwujudkan dalam masa terdekat.
“Saya telah berjumpa dengan beberapa ketua jabatan dan dimaklumkan tindakan susulan sedang diambil oleh mereka untuk memastikan perkara itu (pencemaran) tidak berulang di sepanjang jajaran sungai itu,” katanya.
Mengenai dakwaan pelantikan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Dr Roslan Hussin sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR baru-baru ini, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata beliau difahamkan Roslan tidak menerima surat tawaran tersebut.
“Saya sudah berjumpa dengan beliau hari ini dan bertanya sama ada menerima surat atau tawaran sebagai ahli MPP. Beliau memberitahu tidak menerima apa-apa surat setakat ini…apa juga tawaran, kalau setuju memang kesilapan, tapi kalau beliau tak tahu surat itu, macam mana nak hukum, itu tak adil untuk beliau,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button