MahkamahNasional

Najib rasa gaji saya ‘agak kecil’ kata Sidek Hassan

BEKAS Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi pelantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Penasihat syarikat 1MDB oleh Datuk Seri Najib Razak bertujuan untuk menaikkan gajinya.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan 1MDB dihadapi bekas perdana menteri, Najib hari ini.

Untuk rekod, Sidek yang berkhidmat dari September 2006 hingga Jun 2012 berkata, bekas perdana menteri itu bertanyakan mengenai gajinya sebelum pelantikan itu dibuat.

“Beliau (Najib) beranggapan gaji saya ‘agak kecil’,” katanya walaupun tidak menyatakan berapa banyak beliau dibayar sepanjang tempoh perkhidmatannya selama enam tahun.

Sidek berkata, beliau menjadi Ahli Lembaga Penasihat 1MDB pada 30 Ogos 2010 dan menerima bayaran penasihat bulanan sebanyak RM30,000 sehingga Januari 2013 ketika ia dikurangkan kepada RM10,000.


“Walaupun saya adalah Ahli Lembaga Penasihat, saya tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat untuk membincangkan perkara berhubung 1MDB.

“Kakitangan 1MDB tidak pernah melaporkan kepada saya mengenai operasi harian,” katanya dan menambah pelantikannya hanya ditamatkan pada Jun 2015 walaupun tidak diberitahu sebabnya.

Sidek memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya mendapat tahu mengenai masalah kewangan 1MDB menerusi media.

“Saya tahu menerusi media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat 1MDB. Perdana Menteri (Najib) tidak pernah memberitahu saya mengenai masalah dalam 1MDB dan saya tidak pernah bertanyakan kepada beliau mengenai perkara itu.

“Saya difahamkan bahawa 1MDB ditubuhkan untuk dijadikan sebagai dana politik untuk Barisan Nasional (BN),” katanya.

Mahkamah pada September 2020 lalu mendengar keterangan daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hazem Abdul Rahman yang berkata, 1MDB ditubuhkan untuk membantu UMNO mendapatkan dana politik.

Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun banknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah dan bersambung. – FMT – SM

(Visited 104 times, 5 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button