MahkamahNasional

Najib gagal saman Am Bank

bEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengembalikan semula saman sivil terhadap AmBank Islamic Bhd dan dua lagi berhubung dakwaan salah urus akaun banknya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara menolak rayuan Najib dan memerintahkan beliau membayar kos RM40,000 kepada AmBank Islamic serta AMMB Holdings Bhd dan kos RM35,000 kepada bekas pengurus perhubungan pelanggan Joanna Yu Ging Ping yang juga responden dalam rayuan itu.

Hakim Yaacob yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata, pertuduhan jenayah yang dihadapi Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) bukan disebabkan oleh AmBank Islamic, AMMB Holdings dan Yu.

“Ia adalah soal kuasa budi bicara tunggal atau tidak terikat oleh Peguam Negara sebagai pendakwa raya untuk memulakan sebarang prosiding pertuduhan jenayah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” katanya.

Beliau berkata, isu dalam saman sivil Najib dan kes jenayah SRC International adalah hampir serupa, jika tidak sama sepenuhnya.

Hakim Yaacob berkata, mahkamah berpendapat bahawa beliau (Najib) berusaha untuk meneruskan saman sivilnya untuk menjejaskan prosiding jenayah dan penemuan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah dan Mahkamah Rayuan dalam kes jenayah SRC International.

Yu adalah seorang daripada saksi pendakwaan dalam perbicaraan yang dihadapi Najib atas tujuh pertuduhan berkaitan dakwaan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 28 Julai 2020 lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan kesalahan serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes jenayah SRC International.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Disember 2021. Najib memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Persekutuan.

Najib juga mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 yang membatalkan samannya terhadap bank itu dan Yu, yang beliau dakwa antara lain telah melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low. – SM

 

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button