Nabila Razali akui kesihatannya masih belum pulih namun tetap beraksi di AJL 35
WALAUPUN masih dirawat ekoran kecederaan yang dihadapi di bahagian tekak, penyanyi, Nabila Razali memberitahu yang dia tetap akan beraksi di Anugerah Juara Lagu 35 (AJL 35).
Menurut penyanyi lagu Peluang Kedua itu, buat masa ini dia cukup menjaga kesihatan diri dan mengikut sahaja arahan daripada doktor.
“Saya dah buat semua persiapan melibatkan persembahan dan yang paling penting sekali melibatkan kesihatan.
“Memang ada juga terfikir pasal risiko, tetapi mengenangkan peminat-peminat yang rindu persembahan saya, jadi itu yang saya pertimbangkan,” katanya.
Sebelum ini, Nabila terpaksa menarik diri daripada persembahan di Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) akibat mengalami masalah pada peti suara.
Hael Husaini yang juga komposer Peluang Kedua telah menggantikan Nabila untuk mempersembahkan lagu berkenaan.
Selepas itu, muncul teka teki sama ada Nabila akan beraksi di peringkat akhir atau tidak sehinggalah perkara itu disahkan sendiri oleh Hael menerusi status di akaun Twitter miliknya.
Dalam pada itu, Nabila turut memberitahu yang dia bersedia untuk berbinang dengan pihak produksi sekiranya tidak dapat beraksi di peringkat akhir.
“Buat masa ini, saya belum ada senarai penyanyi yang menggantikan saya jika tidak dapat membuat persembahan,” katanya.
Tambahnya, dia berharap supaya peminat dapat mendoakan dia segera pulih dan memberi yang terbaik semasa di pentas akhir AJL 35. -SM