BeritaNasionalPendidikan

MyTutor Academy bantu pelajar ikuti kelas tuisyen di rumah

MYTUTOR Academy Sdn Bhd syarikat berasaskan perkhidmatan kelas tuisyen di rumah (home tuition) dikenali sebagai MyTutor yang dilancarkan baru-baru ini menerima sambutan amat menggalakan.

Sebanyak lebih 1,900 tutor dengan 17,000 pelajar yang berdaftar seluruh Malaysia termasuk pelajar Malaysia yang berada di luar negara berdaftar dengan MyTutor.

Ketua Pegawai Eksekutif My Tutor Academy Sdn Bhd, Mohd Hafiz Kamaruddin.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Hafiz Kamaruddin berkata, MyTutor yang telah ditubuhkan sejak tahun 2016 akan sentiasa berevolusi seiring dengan keperluan semasa pelajar.

“Kekuatan MyTutor adalah menyediakan servis tuisyen di rumah namun asbab pandemik ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada MyTutor untuk menambah servis baru iaitu platform kelas secara dalam talian yang juga dilancarkan hari ini iaitu edufy.my,“ katanya.

Beliau berkata demikian usai majlis pelancaran MyTutor dan Edufy yang telah dirasmikan oleh barisan pengasas MyT EduTech Berhad yang merupakan ibu syarikat kepada MyTutor Academy Sdn. Bhd.


Mohd Hafiz berkata, ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes Covid-19, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi kaedah terbaik dalam memastikan pendidikan dapat diteruskan apabila pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

“Menerusi pelaksanaan PdPR kaedah pembelajaran diajar oleh para guru di sekolah menggunakan kemudahan peranti dan akses internet telah mendapat sambutan baik di kalangan pelajar.

“Sebagai peneraju servis tuisyen di rumah, kami juga mengikuti perkembangan tersebut dengan menawarkan kelas tuisyen secara dalam talian secara individu atau berkumpulan yang tidak melebihi 24 pelajar dalam satu-satu masa”, katanya.

Katanya lagi, Edufy telah dibangunkan sejak tiga tahun lalu sebagai alternatif kepada pelajar namun kebanyakan ibu bapa lebih gemar memilih guru datang ke rumah mengajar secara bersemuka.

“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tidak mempunyai pilihan dan kami ambil kesempatan menggunakan platform Edufy secara efektif dan percubaan tersebut nyata berjaya kerana draf permintaan meningkat,” ujarnya.

Edufy iaitu platform pertama yang menghubungkan aplikasi Zoom secara bersepadu bagi pelaksanaan kelas berserta modul pelajaran secara digital mengikut permintaan pelajar, kata Mohd Hafiz.

Ketua Pegawai Eksekutif My Tutor Academy Sdn Bhd, Mohd Hafiz Kamaruddin (tengah) bergambar bersama Pengarah Urusan Siti Zulaika Jeffry (kanan) dan Pengarah Eksekutif Mohd Farhan Firdaus Jamil (kiri).

“Sistem pengurusan pembelajaran diautomasi sepenuhnya bermula daripada pendaftaran, pembayaran, pautan Zoom sehinggalah rakaman kelas diuruskan oleh sistem.

“Edufy kini terdapat lebih 130 kelas dan mampu menampung kelas yang bersiaran langsung secara serentak pada skala yang lebih besar,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau akui, di awal pengumuman PKP, beliau dan isteri, Siti Zulaikha Jeffry yang sama-sama membina perniagaan turut terkesan.

“Ini kerana sebelum ini syarikat mereka memfokuskan kepada servis mengajar bersemuka dengan pelajar, sama ada secara perseorangan mahu pun berkumpulan,” kata pasangan tersebut yang juga merupakan lulusan Ijazah Sains Nuklear daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Memang terkesan di peringkat awal lebih-lebih lagi memikirkan pendapatan tutor yang terjejas terutamanya tutor sepenuh masa yang berkhidmat dengan MyTutor. “Kami mengambil masa beberapa bulan sebelum bangkit dan mendapat sokongan pasukan yang mahir dalam teknologi digital yang diketuai oleh Mohd Farhan Firdaus Jamil yang juga salah seorang pengasas MyT EduTech Berhad sehingga terbinanya Edufy.

“Farhan sangat faham kehendak kami kerana sistem pengurusan MyTutor juga dibangunkan oleh beliau,” jelas Mohd Hafiz.

Mohd Hafiz berkata, “situasi pandemik menjadi pencetus kepada kami bagi mencapai matlamat yang lebih besar dalam perniagaan kerana perubahan permintaan daripada ibu bapa sendiri.

“Misalnya, pada tahun lepas terdapat ibu bapa yang meminta MyTutor menyediakan kelas persediaan UPKK dan MyTutor dapat memenuhi permintaan tersebut.

“Dalam masa kurang dua minggu, program tersebut dilancarkan dan bilangan pendaftaran mencapai sasaran penuh.”

Jika sebelum ini, kata Mohd Hafiz, kebanyakan ibu bapa mencari pusat tuisyen dan sanggup mengeluarkan belanja untuk membantu anak-anak memperoleh teknik lebih efisen sebagai persediaan menduduki peperiksaan utama, situasi kini berubah.

“Impak pandemik menyebabkan pandangan sebahagian ibu bapa berubah. Keperluan tuisyen dan tutor terbaik bukan hanya untuk lulus cemerlang tetapi memastikan mata pelajaran yang sepatutnya dibekalkan kepada pelajar disampaikan kepada mereka dengan baik menepati dengan tahap penguasaan pelajar.

“Misalnya kini, permintaan untuk kelas membaca adalah yang tertinggi dan ia melibatkan murid yang berumur empat, lima dan enam tahun kerana kumpulan ini paling ramai terjejas penguasaan 3M iaitu membaca, mengira dan menulis,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tenaga pengajar di MyTutor jika sebelum ini pihaknya menawarkan peluang terbuka kepada semua pemegang ijazah dari mana-mana bidang kini MyTutor mengorak langkah mengadakan perjanjian usahasama dengan pihak Institusi Pengajian Tinggi bagi membantu lebih ramai graduan.

“Kerjasama ini melibatkan siswazah yang telah tamat belajar tetapi belum memperoleh pekerjaan bagi menimba pengalaman sebagai tenaga pengajar.

“Selain keupayaan mereka menyampaikan modul kepada pelajar, kemahiran berkomunikasi juga meningkat.

“Lebih daripada itu ganjaran pendapatan daripada pekerjaan itu juga boleh dimanfaatkan sebaiknya kerana terdapat tutor yang mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan jika mengajar secara sepenuh masa.”

“Kami menyokong graduan supaya kadar pengangguran dikurangkan di samping mencari “duit poket” sebelum memperoleh pekerjaan yang setanding dengan kelulusan semasa di universiti,” katanya.

Kumpulan tutor ini katanya, perlu menjalani beberapa ujian kelayakan sebelum diserap masuk sebagai tenaga pengajar termasuk latihan dan kemahiran mengajar sama ada kelas bersemuka mahupun dalam talian.

Tambah beliau, program bimbingan serta latihan diberikan secara percuma kepada semua tutor berdaftar.

“Daripada jumlah 1,900 tutor dengan pendapatan purata tutor sekitar RM1,000 ke RM3,000, kami menyasarkan peningkatan bilangan tutor aktif seramai 100,000 tempoh empat tahun akan datang dan seterusnya mendokong aspirasi MyT EduTech Berhad untuk tersenarai di Bursa Saham pada tahun 2026,” katanya usai upacara penyerahan sijil kepada 87 pemegang saham. – SM

(Visited 36 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button