Nasional

Ketuk-ketuk sahur di Pengkalan Rama Pantai berusia 92 tahun

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 26 April – Bagi penduduk di Pengkalan Rama Pantai dekat sini kedatangan Ramadan seperti tidak sempurna tanpa mendengar nyanyian dan bunyi pelbagai alatan gendang mengejutkan mereka menjelang waktu
sahur.

Bagi penduduk di situ ‘ketuk-ketuk sahur’ sudah menjadi tradisi sejak 92 tahun dan masih utuh serta
diteruskan oleh generasi muda.

Ketuanya, Jeffri Yusof berkata, walaupun tidak diketahui secara tepat sejarah tradisi itu, dia mendapat
maklumat ia telah bermula sejak 1930-an lagi.

Jeffri Yusof

Menurutnya, memang mengejutkan usia tradisi itu sejak lebih 92 tahun namun sudah menjadi satu kemestian
perlu diadakan setiap kali kedatangan Ramadan setiap tahun.


Katanya, ketuk-ketuk sahur adalah aktiviti yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk
di kampung berkenaan malah mereka tidak menganggap ia sebagai mengganggu dengan bunyi bising.

“Tradisi ini sangat unik dipelopori sewaktu zaman datuk, nenek dan moyang kami serta masih diteruskan oleh
penduduk sehingga hari ini.

“Dulu mereka yang terlibat boleh dihitung dengan jari namun sekarang ia melibatkan seluruh penduduk tak
kira usia.

“Ketuk-ketuk sahur kita jalankan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad apabila tiba waktunya antara 30 hingga
40 penduduk turun berkumpul untuk menjalankan aktiviti ini,” ujarnya baru-baru ini.

Jeffri berkata, pelbagai alatan muzik tradisional digunakan seperti gendang ibu dan anak, gong, tamborin
serta kompang diperkuatkan dengan pelbagai lagu bagi memeriahkan suasana serta mengejutkan penduduk untuk
bangun bersahur.

Jelasnya, zaman banyak berubah daripada ketuk-ketuk sahur menggunakan barangan terpakai seperti baldi, tin
dan juga pelbagai jenis tong namun kini lebih menarik menggunakan alat muzik tradisional.

Katanya, aktiviti itu bermula pukul 2.00 hingga 5.00 pagi apabila seluruh mereka yang terlibat berkumpul
di sebuah rumah milik Saiful Maidin.

“Dari situ kami akan mula bergendang dan menyanyikan beberapa buah lagu bagi seperti Bangun Sahur, Ali
Baba Bujang Lapok, lagu Hari Raya Aidilfitri dan banyak lagi,” ujarnya.

Katanya lagi, mereka hanya memulakan memainkan peralatan muzik sejurus tiba di perkarangan rumah penduduk dan kebiasaannya antara 20 hingga 30 buah rumah.

(Visited 8 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button