fbpx
Nasional

Mujahid jangan takut tubuhkan suruhanjaya diraja siasat Tabung Haji

ISU pengambilalihan empat buah hotel  milik daripada Tabung Haji menghangatkan kembali tuntutan agar Pakatan Harapan segera penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat ‘skandal Tabung Haji’.

Cabaran itu dibuat bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa tidak perlu takut untuk menubuhkan suruhanjaya tersebut seperti yang tercatat dalam Janji ke-7 Manifesto Pakatan Harapan.

“Wahai kekandaku YB Dr. Mujahid Yusof Rawa, sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas Tabung Haji sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995, tampillah secara bermaruah untuk memperjelaskan isu yang menyentuh Tabung Haji.

“Jika benar sekalipun alasan blogger upahan bahawa penjualan aset-aset dan hartanah TH secara lambak berpunca daripada ‘skandal-skandal dan penyelewengan, maka janganlah takut untuk menubuhkan RCI,” kata Asyraf Wajdi.


Asyraf Wajdi berkata demikian sebagai reaksi tindakan Mujahid berkongsi hantaran Facebook tulisan seorang blogger yang memaparkan alasan mengenai pengambilalihan empat buah hotel milik Tabung Haji. Hantaran tersebut kemudiannya telah dipadamkan daripada Facebook Mujahid.

Menurut Asyraf Wajdi selepas dua tahun Pakatan Harapan memerintah tidak seorang pun didakwa berkaitan Tabung Haji.

“Justeru sekali lagi saya menjemput YB Mujahid Yusof untuk kita berdialog secara ilmiah berkaitan isu-isu skandal TH sebagaimana yang didakwa.

“Janganlah pula hantar Pengerusi LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) untuk mencabar saya berdebat. Ini perkara serius melibatkan hal ehwal Tabung Haji bukannya berkaitan hal ehwal pengurusan ikan,” kata Asyraf Wajdi.

Empat hotel milik Tabung Haji akan diuruskan anak syarikat milik sepenuhnya Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., (UJ), UJ Property Management Sdn. Bhd., (UJPM).

Hotel tersebut adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar, Kedah dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu, Terengganu

“Memetik kenyataan yang sama, kesemua hotel tersebut adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 billion pada hari pemindahan.

“UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 billion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini.

“Penubuhan UJPM ini merupakan salah satu langkah untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH telah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel,” kata kenyataan akhbar,” kata Tabung Haji dalam satu kenyataan.-SM

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button