Nasional

Empat hotel THH di bawah UJPM: 90 peratus staf tidak dibuang

NASIB hotel-hotel yang dipindah milik daripada Tabung Haji (TH) untuk diuruskan anak syarikat milik sepenuhnya Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., (UJ), UJ Property Management Sdn. Bhd., (UJPM) berkemungkinan jauh lebih baik berbanding pengurusan sebelum ini.

Hotel-hotel yang dipindah milik kepada UJ ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar, Kedah dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu, Terengganu.

Lembaga TH dalam satu kenyataanya hari ini memaklumkan, pengurusan akan diteruskan di bawah anak syarikat milikan penuh UJ, UJ Property Management Sdn. Bhd. (UJPM).

Sehubungan itu, UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel berkenaan yang sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn. Bhd. (THHR) bermula 1 April 2020.

Memetik kenyataan yang sama, kesemua hotel tersebut adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 billion pada hari pemindahan.

“UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 billion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini.

“Penubuhan UJPM ini merupakan salah satu langkah untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH telah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel,” kata kenyataan akhbar.

Operasi hotel di bawah pengurusan baharu ini akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel mulai 1 April 2020.

UJ juga, menurut kenyataan akhbar itu, telah menyediakan dana bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung.

“UJ juga ingin meyakinkan orang ramai bahawa hotel-hotel ini boleh digunakan seperti mana yang telah dipraktikkan dulu semasa musim operasi haji,” jelasnya.

Menerusi kenyataan akhbar itu juga turut memaklumkan, tiada kakitangan THHR akan diberhentikan.

Ini bermakna 90% daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel manakala 10% kakitangan hotel akan diserap oleh THHR Kelana Jaya.

“90% kakitangan yang terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR.

“TH akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan yang terlibat demi kelangsungan karier mereka di masa hadapan,” katanya.

Pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan TH.

Langkah pengambilalihan operasi hotel-hotel ini daripada THHR adalah langkah- yang perlu diambil oleh UJ bagi memenuhi mandat yang telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan komitmen kerajaan.

“UJ memainkan peranan penting untuk memastikan objektif ini tercapai dan akan sentiasa giat berusaha untuk mengembangkan nilai asset-aset di bawah portfolio UJ.

“Sejajar itu, TH dan UJ berharap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan baharu yang akan menjadi operator di empat hotel tersebut,” ujar kenyataan tersebut.

Ini kerana, dari segi asasnya, pihak UJ akan meningkatkan imej keempat-empat hotel berkenaan dari segi penjenamaan semula, menaik-taraf fasiliti dan mengoptimumkan tahap kecekapan.

UJPM akan diterajui oleh Muhammad Solleh Ramli yang berpengalaman luas dalam pengurusan perhotelan dan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Proasset Management Sdn. Bhd., syarikat pengurusan Hotel MS Garden Kuantan, Pahang.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Hotel Seri Malaysia. – SM

(Visited 642 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button