Berita

Perlis lokasi strategik untuk pelaburan perniagaan – Raja Muda Perlis

PERLIS yang terletak di dalam kawasan pembangunan ekonomi dan sosial ‘Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)’ dan berada di tengah-tengah ‘Segitiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT)’ adalah lokasi yang sangat strategik kepada para pelabur yang berhasrat untuk mengembangkan bisnes mereka di negara ini.

Negeri ini juga menawarkan keselamatan aset peribadi pada tahap tinggi, akses yang mudah untuk ke negara-negara ASEAN lain dan juga kos yang rendah dalam menjalankan perniagaan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Turki ke Malaysia, TYT Merve Kavakci di pejabat Kedutaan Besar negara berkenaan di Kuala Lumpur pagi semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menawarkan kepada TYT Merve undangan kepada syarikat-syarikat Turki yang berminat untuk datang ke Perlis bagi mendapatkan taklimat daripada Pejabat Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan juga Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Negeri Perlis mengenai peluang-peluang yang tersedia.

Selain aspek ekonomi, turut diperbincangkan ialah topik pendidikan tinggi, kebudayaan dan juga sosial.

TYT Merve menyambut baik pelawaan tersebut dan sememangnya menjadi hasrat dan keutamaan beliau untuk memastikan lebih banyak aktiviti hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara dilaksanakan.

Antara program yang akan dipertimbangkan untuk dianjurkan dalam tempoh terdekat ini ialah pameran bagi memperkenalkan lagi negara Turki di beberapa buah perpustakaan di Perlis.

TYT Merve juga bercadang untuk mengadakan kunjungan rasmi ke Perlis dan beliau juga pernah mendengar mengenai pengalaman menarik yang dilalui okeh Duta-Duta Besar negara lain berbasikal dalam program ‘MAiPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ bersama Tuanku Raja Muda Perlis.

BACA JUGA

Perlis negeri paling selamat di jalan raya

(Visited 520 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button