Politik

Muhyiddin perlu buat tiga perkara yang betul!

CATATAN ISHAM JALIL

BEBERAPA bulan lalu ada satu kajiselidik dibuat di Pantai Timur dengan 425 orang responden yang menyatakan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin popular dengan 58% tahap sokongan.

isham
ISHAM JALIL

Menurut Ketua Penerangan UMNO Selangor yang juga penganalisis politik, Isham Jalil, hari ini, satu kajiselidik dari institusi kajian (IDE) mendapati, daripada 8,352 responden yang ditanya, hanya 1,587 atau 19% sahaja yang mahu Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal dan lebih 80% respon mahu Parlimen dibubarkan untuk diadakan pilihanraya.

Kajian yang dibuat oleh Universiti Utara Malaysia baru-baru ini mendapati bahawa daripada 608 responden yang ditanya tentang Perdana Menteri, pilihan mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, hanya 61 orang atau 10.2 % menjawab mahukan Muhyiddin dan hampir 90% yang lain mahukan orang lain sebagai Perdana Menteri.

Kelmarin kajiselidik yang dibuat oleh Utusan Malaysia ke atas 27,277 responden mendapati hanya 1,487 atau 5% sahaja responden mahu Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin perlu menerima hakikat yang rakyat telah menolak beliau sebagai Perdana Menteri akibat kegagalan beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani wabak Covid-19 dan mengendali ekonomi yang semakin buruk kini.

Jika Muhyiddin ambil peduli dengan kepentingan rakyat dan tidak hanya mementingkan kuasa dan diri sendiri, beliau perlu mengambil tiga langkah berikut:

PERTAMA, membuka Parlimen untuk bersidang dengan secepat mungkin supaya proses semak imbang dapat dilaksanakan ke atas penentuan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

KEDUA, akur kepada titah Seri Padu Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menghentikan berpolitik dalam tempoh wabak.

Contoh utama “berpolitik” dalam tempoh wabak ini ialah apabila Perdana Menteri atau parti beliau cuba “memujuk” ahli-ahli Parlimen melompat parti untuk menyokongnya dalam tempoh darurat di kala sokongan ke atasnya goyah.

Tempoh darurat ini tidak sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan kedudukan politiknya melalui lompat parti di kala kes Covid-19 semakin meningkat.

KETIGA, membenarkan usul undi percaya (atau tidak percaya) di bawa ke atasnya apabila Parlimen dibuka kelak untuk menguji keabsahan sebenar yang diperolehnya sebelum beliau menentukan dasar-dasar dan halatuju kerajaan dan menggunakan sumber-sumber (jentera dan kewangan) kerajaan yang memerlukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Parlimen dengan majoriti.

“Saya pasti Muhyiddin tidak berani untuk membuat ketiga-tiga perkara di atas pada masa ini,” kata Isham.

Kenyataannya bahawa Muhyiddin akan membubarkan Parlimen “apabila wabak Covid-19” reda amatlah subjektif dan tergantung kerana wabak ini boleh berterusan selama beberapa tahun lagi dengan program vaksinasi yang lambat dengan Perdana Menteri yang tidak ada motivasi untuk menyelesaikannya.

Ini memandangkan lebih lama wabak ini berterusan, lebih lama Parlimen tidak perlu dibubar dan lebih lama Muhyiddin boleh terus berkuasa.

Kerajaan Malaysia hari ini diterajui oleh seorang Perdana Menteri yang mengetuai parti di mana 25 (atau 80%) daripada 31 ahli-ahli Parlimennya adalah pelompat parti dan pengkhianat mandat rakyat.

Malaysia tidak akan selamat di tangan mereka ini sebab itu kita perlu tukar mereka ini segera. – SM

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button