fbpx
Nasional
Trending

Muhyiddin letak jawatan? Siapa PM seterusnya?

TERDAPAT khabar angin mengatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal meletakkan jawatan susulan Perintah Darurat tidak diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hal berkenaan menyebabkan beberapa pemberita berkumpul di hadapan kediaman beliau di Bukit Damansara, Kuala Lumpur malam tadi.

Menambah lagi keyakinan terhadap perletakan jawatan tersebut apabila beberapa menteri dan Ahli Parlimen dikatakan turut berkumpul di kediaman Muhyiddin dalam keadaan sedih.

Antara yang dilihat hadir adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Muhyiddin dipercayai mahu meletakkan jawatan susulan beliau gagal meyakinkan Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah untuk melaksanakan Perintah Darurat.


Perintah Darurat yang dicadangkan kepada baginda adalah mengikut Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau didakwa mengguna alasan wabak pandemik Koronavirus (Covid-19) untuk melaksanakan Perintah Darurat.

“Muhyiddin kelihatan seperti terpukul dengan penolakan Yang di-Pertuan Agong dan ada mengatakan beliau mahu melakukan perkara yang betul termasuk meletakkan jawatan.

“Bagaimanapun, Mohamed Azmin dan mereka yang hadir di kediaman Muhyiddin meminta beliau untuk terus bertahan.”

Demikian kata sumber yang dipetik laporan portal The Vibes malam tadi.

Malah, turut dilaporkan terdapat tetamu yang hadir turut menyatakan perletakan jawatan Muhyiddin tidak dapat dielak kerana kedudukannya dalam Dewan Rakyat terganggu.

“Jika mahu terus kekal, satu persoalan timbul adalah adakah beliau mempunyai sokongan yang cukup di Parlimen.

“Ditambah pula dengan keputusan Agong semalam yang menolak cadangan beliau lagilah membuatnya berasa tidak dapat menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri,” kata sumber yang tidak mendedahkan identiti.

Jika benar Muhyiddin meletakkan jawatannya, siapakah yang paling layak selepas ini untuk menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9.

Persoalan timbul kerana, buat pertama kali dalam sejarah negara, tiada parti dalam Dewan Rakyat yang benar-benar dominan dan mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan.

Malah, jika benar seperti didakwa ramai pihak bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak menjadi Perdana Menteri, maka beliau juga perlu mendapat sokongan parti lawan.

Namun, terdapat penganalisis dan parti politik berpandangan Ahli Parlimen paling veteran dari Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah disebut paling layak menggantikan Muhyddin.

Selain itu, nama beliau juga disebut sebagai calon paling sesuai menjadi Perdana Menteri Interim sekiranya Yang di-Pertuan Agong menitahkan pembentukan kerajaan sementara.

Walau apa pun andaian, masih tertakluk kepada sebarang pengumuman rasmi yang akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Sehingga malam tadi, Muhyiddin dikatakan memanggil Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk bermesyuarat pada pukul 9.30 pagi ini di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Turut dijemput adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mesyuarat tersebut dipercayai diadakan selepas Al Sulta Abdullah memutuskan tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Darurat.

Menerusi satu kenyataan daripada Istana Negara semalam, Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan baginda menzahirkan keyakinan terhadap keberkesanan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan baginda memeberi amaran kepada ahli politik supaya berhenti bermain isu politik dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan kestabilan negara. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button