Nasionalpilihan

MINDEF tingkat keupayaan aset, taraf keselesaan anggota pada Belanjawan 2024

LANGKAH kerajaan memberikan peruntukan bagi perolehan aset ketenteraan dan penyelenggaraan serta baik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) adalah bertepatan dengan perkembangan dan keperluan menambah baik infrastruktur kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Peruntukan besar sebanyak RM19.7 bilion yang diberikan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) tahun depan  turut memperlihatkan keazaman kerajaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset ketenteraan dan kebajikan anggotanya terjamin.

Peningkatan sebanyak RM2 bilion berbanding peruntukan tahun ini dilihat mampu meningkatkan moral dan iltizam anggota pasukan keselamatan negara untuk sentiasa mempertingkat kesiapsiagaan demi kedaulatan tanah air.

Penganalisis keselamatan Shahul Hamid Abdul Rahim berkata tindakan kerajaan menyalurkan dana yang besar kepada kementerian itu termasuk RM400 juta bagi 2024 untuk membina dan menyelenggara RKAT adalah bertepatan dengan perkembangan semasa  sekali gus dapat meningkatkan moral anggota kerana mempunyai kediaman yang selesa.

Sebelum ini pada Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membaik pulih kemudahan anggota tentera meliputi penyelenggaraan dan baik pulih RKAT, sistem pembetungan, pembaikan jalan dalam kem dan menaik taraf garaj kenderaan termasuk taman permainan kanak-kanak dengan penyelenggaraan yang lebih menyeluruh di seluruh negara.

Menerusi peruntukan itu, kerja-kerja penyelenggaraan awam telah dilakukan di Pangkalan Udara Kuching dan penyelenggaraan mekanikal di Skuadron 330 Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Kota Samarahan meliputi blok operasi, dewan makan dan bangunan Anthens Mast.

Selain itu, turut dilaksanakan adalah kerja-kerja menaik taraf infrastruktur jalan, laluan berbumbung, retikulasi air dan taman permainan di RKAT Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu dan Kem Kabota di Tawau, Sabah.

Kerja-kerja penyelenggaraan bagi RKAT pula telah  dilaksanakan di Kem Penrissen dan Kem Semenggo di Kuching serta Kem Oya di Sibu; selain giat dilaksanakan di kem-kem tenteranya antaranya di Kem Wardieburn dan Kem Batu Kentonmen di Kuala Lumpur, Kem Terendak di Melaka, Kem Sangro Taiping dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di Perak, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sabah dan Markas Wilayah Laut 3, Langkawi, Kedah.

Bagi anggota Tentera Darat, Sjn Fatin Izzati Amir, 32, inisiatif itu dapat memberikan manfaat serta kebaikan kepada anggota sekali gus lebih berdedikasi dalam pekerjaan.

“Ia bertetapan dengan keadaan kini kerana mampu memberikan wajah baharu kepada kediaman kami dan menjadikan lebih selesa. Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa mengutamakan kebajikan anggota dan keluarga,” katanya.

Seorang lagi anggota Tentera Darat, Kpl Mohd Nor Roshadi Razali, 41, menyifatkan perkara itu dapat memastikan kesejahteraan terpelihara bukan hanya kepada anggota ATM tetapi juga keluarga.

“Ini dapat menambah baik keselesaan anggota tentera dan keluarga yang mendiami RKAT seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti kerja kepada  warga ATM,” katanya.

Dalam pada itu, MINDEF  dalam kenyataannya memberitahu kementerian itu  berazam mempertingkat keupayaan aset pertahanan dan taraf keselesaan anggota dengan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan Malaysia MADANI 2024 pada 13 Okt lepas berkata kerajaan akan memulakan proses perolehan aset baharu termasuk perolehan 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perolehan lain adalah aset utama Tentera Darat Malaysia seperti 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), enam Hovercraft Integrated Fast Interceptor dan 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis.

MINDEF memaklumkan peruntukan bagi perolehan aset tahun depan meningkat 79.1 peratus kepada RM5.58 bilion sementara bagi pembinaan meningkat 20 peratus kepada RM1.41 bilion.

Sementara itu penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan Belanjawan 2024 memberikan isyarat jelas aspek kedaulatan negara dan keselamatan rakyat tidak diabaikan dan akan terus diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan.

“Dana yang disalurkan bagi pembelian aset dan kelengkapan baharu yang canggih perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh agensi keselamatan negara itu bagi menghadapi elemen geostrategik dan ancaman terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata ‘diplomasi persenjataan’ penting bagi pastikan Malaysia disegani di rantau ASEAN dengan mempunyai kelengkapan keselamatan yang canggih sesuai dengan keadaan semasa dan persiapan yang boleh dibanggakan.

Artikel berkiatan > Mindef segera laksana projek bekalan air, selenggara perumahan ATM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button