
Timbalan Menteri Pertahanan tinjau kesiagaan operasi sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Adly Zahari telah mengadakan Lawatan Kerja ke Kawasan Operasi Sempadan Sarawak-Kalimantan di Pos Pa’Dalih, Pos Gabungan Malaysia-Indonesia Kem JPG Ba’Kelalan dan Pos Bario.
Semasa lawatan, Timbalan Menteri Pertahanan telah menerima taklimat operasi termasuk status instalasi markas dan kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang berlangsung di kawasan operasi.
Melalui lawatan ini, Timbalan Menteri Pertahanan diberikan pendedahan dan gambaran yang jelas berkenaan keadaan perjalanan operasi di sempadan Malaysia-Indonesia dalam Operasi JAGAKAWAN, selain melihat keadaan kehidupan seharian dan menyantuni warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di perbatasan.
Lawatan ini adalah merupakan salah satu aktiviti di bawah Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara, iaitu Cegah Rintang Berpadu, seperti yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan 2020 – 2030 (KPP).
Strategi ini bertujuan untuk melindungi kepentingan negara, terutamanya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah dengan menghindar daripada sebarang bentuk pencerobohan dan konflik. Pertahanan negara dilaksanakan sepanjang kawasan lapisan berpadu meliputi domain darat, maritim, udara dan siber elektromagnetik.
Dalam lawatan tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan turut menghadiri majlis ramah mesra bersama dengan agensi keselamatan setempat dan penduduk kampung berdekatan di sekitar Daerah Bario, di samping menyantuni dua keluarga Veteran ATM menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) di Daerah Baram.
Timbalan Menteri Pertahanan juga menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada balu veteran ATM, memberi bantuan makanan ikan kepada seorang usahawan veteran ATM yang mengusahakan projek menternak ikan air tawar, dan sumbangan keperluan harian kepada kedua-dua mereka.
Program PVM Bario dilaksanakan bagi menyantuni veteran ATM walau di mana golongan ini berada dalam usaha memastikan bantuan yang disalurkan adalah menepati keperluan selain menjadikan platform ini sebagai medium untuk menyampaikan dasar, maklumat terkini dan bantuan semasa kepada veteran ATM.
TENTERA
Turut hadir dalam Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pertahanan ke kawaan operasi sempadan Sarawak-Kalimantan ialah Panglima 9 Briged; Brigedier Jeneral Jafri bin Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM; Encik Sophian Isswandy bin Ismail, dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Sarawak; Mejar Steven anak Kadir. – SM!