
Projek pembinaan RKAT Kem Lok Kawi bakal sediakan 513 rumah untuk keluarga Angkatan Tentera
PROJEK pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Lok Kawi yang bakal menyediakan rumah berbagai kelas bakal siap menjelang Ogos tahun ini.
Projek dengan kos RM188 juta yang mula dilaksanakan sejak Februari 2022 itu dilaporkan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, menerusi taklimat yang diberikan, beliau amat berpuas hati dengan proses pembinaan yang berjalan lancar.
Katanya, projek RKAT ini akan memberi manfaat kepada 513 keluarga warga pertahanan yang bertugas di sekitar kawasan Kem Lok Kawi sebaik ia siap sepenuhnya.
“Hari ini, saya berada di tapak untuk meninjau satu projek kementerian bagi menyediakan rumah-rumah untuk keluarga Angkatan Tentera.
“Saya dimaklumkan mengenai kemajuan kerja-kerja dan saya berpuas hati. Projek ini dijangka boleh siap sepenuhnya pada bulan Ogos tahun ini juga,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi, di sini, semalam.
Yang turut hadir Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin.

Mohd Khaled berkata, selaras dengan Fokus Keempat Kementerian Pertahanan Tahun 2025, kementerian turut memperuntukkan RM2.9 juta bagi tujuan penyelenggaraan RKAT dan Blok Penginapan Kem Lok Kawi.
Katanya, selain itu kementerian turut memperuntukkan RM11.3 juta bagi RKAT dan Senggaraan Blok Penginapan 5 Divisyen.
“Bagi tujuan ini secara keseluruhan, terdapat empat blok penginapan di Kem Lok Kawi dan 161 pintu RKAT iaitu di Kem Lok Kawi, Kem Brooke, Kem Paradise, Kem Penampang dan Kem Sri Kinabatangan bagi kerja-kerja senggaraan tahun ini.

“Kementerian sentiasa menumpukan aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dititikberatkan dalam menjamin tahap kesejahteraan warganya,” katanya.
Sementara itu, dalam lawatan berkenaan, Mohd Khaled turut menyampaikan Sumbangan Kebajikan sebanyak RM500 kepada 20 orang pesakit kronik yang bertugas di 5 Divisyen.