fbpx
Nasional

MB Pahang tetap mahu pekebun haram durian ‘kosongkan’ tanah

KERAJAAN Negeri Pahang mengulangi ketegasan dan komitmen untuk bertindak terhadap atas tanah-tanah diusahakan secara haram oleh pekebun-pekebun durian Musang King di Raub.

Menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan di kawasan tersebut berikutan perintah Mahkamah Tinggi Kuantan baru-bari ini.

Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri sekadar bertindak sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang.

Beliau berharap pekebun terbabit sewajarnya menjadi warga yang patuh undang-undang dengan mengosongkan tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram selama ini.

“Sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Kerajaan Negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan.


“Dalam hal ini saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tiada berhasrat untuk menindas pekebun-pekebun terbabit.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap, kerjasama dapat diberikan oleh semua pihak terutamanya dalam kalangan petani-petani haram berkaitan penanaman durian Musang King di daerah Raub,” kata Wan Rosdy.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Zainal Azman Ab Aziz pada 28 Ogos yang lalu membenarkan agar pendengaran permohonan kebenaran oleh 111 pekebun haram di Raub bagi semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengosongan tanah yang melibatkan kebun-kebun berkenaan ditangguhkan sehingga 28 Oktober ini.

Seramai 111 pekebun durian musang king di Raub mendapatkan perintah penggantungan sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan di beberapa lokasi di sekitar daerah Raub.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang bertindak tegas menangani kegiatan pengusaha dusun durian haram di Raub sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terlibat ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Pada Jun lalu kerajaan Pahang memberikan hak pajakan tanah seluas 5,357 ekar kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources (RPDR). Syarikat itu kemudian mendakwa sebanyak 30 peratus kawasan telah diceroboh.

Kerajaan Pahang berusaha menuntut kebun durian haram yang berkeluasan besar itu namun  menemui jalan buntu apabila ratusan pekebun haram menolak kontrak yang ditawarkan RPDR-PKPP.-SM

 

 

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button