Bola SepakSukan

‘Saya tidak berlatih, tidak jaga badan, ambil minuman ringan’

MARKO Arnautovic mengakui dia memandang rendah Liga Super China selepas menyertai Shanghai SIPG.
Selepas bermain di England bersama Stoke dan West Ham, Arnautovic kemudiannya berpindah ke Shanghai menerusi perpindahan bernilai 23 juta pound (RM127 juta) pada Julai 2019.

Bagaimanapun, penyerang Austria itu mengakui, dia tidak menghormati liga tersebut dengan cara yang sewajarnya.

Arnautovic berkata, dia bersikap tidak profesional apabila tidak berlatih dengan betul dan tidak menjaga tubuhnya apabila mengambil minuman ringan serta tidur pada waktu yang tidak sepatutnya.

Seperti yang dilaporkan oleh Beanyman Sports, Arnautovic berkata: “Saya memandang rendah liga tersebut. Saya tidak berlatih. Saya juga tidak menjaga tubuh saya. Saya makan sesuka hati saya. Saya mengambil minuman bergas seperti Sprite, Coca Cola, Fanta, kesemua minuman yang memiliki kandungan gula yang tinggi itu tidak bagus untuk tubuh.

“Saya makan pada waktu yang salah. Saya tidak tidur sewaktu saya tiba di China. Saya memerlukan masa tiga minggu untuk menyesuaikan diri dengan zon masa negara itu. Saya hanya tidur pada pukul 6, 7 pagi. Saya hanya bangun tidur sekitar pukul 3, 4 petang, kemudian pergi berlatih, dan sekali lagi berjaga sepanjang malam dan makan pada waktu yang salah.”


Pemain berusia 31 tahun itu, bagaimanapun, akhirnya mengambil tanggungjawabnya secara lebih serius dan berikrar untuk mempamerkan persembahan yang baik seperti mana yang diharapkan kelab terhadap dirinya.

“Saya pernah berkata demikian sebelum ini. Sekarang saya sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang apa yang kelab mahukan iaitu beraksi dengan baik, bermain untuk memburu gelaran dan saya perlu berubah kerana saya perlu menjadi lebih bagus. Jika tidak, anda tidak boleh bermain di sini,” katanya.

Arnautovic kini menjaringkan 14 gol daripada 23 perlawanan bersama Shanghai SIPG setakat ini. Kontraknya bersama kelab itu hanya akan berakhir pada Disember 2022.

Sewaktu bersama West Ham, Arnautovic telah meledakkan 22 gol dalam 65 perlawanan dan pernah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Hammer bagi musim 2017/18. – Daily Mail UK – SM

(Visited 18 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button