Nasional

Memburu ketika PKP: Dua maut terkena tembakan rakan

DUA lelaki maut selepas terkena tembakan rakannya ketika  memburu dalam dua kejadian di kawasan hutan di Kota Belud dan Keningau, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, dalam kejadian pertama mangsa, 37, dan suspek  keluar memburu dengan masing-masing membawa selaras senapang buatan sendiri ‘bakakuk’ di kawasan hutan Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud kira-kira pukul 2 petang, Selasa lepas.

“Siasatan awal mendapati semasa berada di kawasan hutan itu, mangsa dan suspek, telah terjumpa kesan tapak kaki rusa dan kemudiannya mereka berpecah ke arah berasingan.

“Namun kira-kira pukul 4.20 petang, suspek yang berada di atas bukit telah melepaskan satu das tembakan ke arah bawah lereng bukit kerana menyangka ternampak rusa… suspek kemudiannya mendengar suara manusia mengerang kesakitan dan apabila dihampiri kelihatan mangsa terkena tembakan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya keluar daripada tempat kejadian untuk mendapatkan pertolongan penduduk kampung, namun apabila kembali ke lokasi kejadian, mangsa didapati telah meninggal dunia.

Zaini berkata kes kedua pula berlaku di hutan simpan Trus Madi Sook, Keningau apabila tujuh lelaki berusia antara 33 hingga 62 tahun masuk ke hutan berkenaan kira-kira pukul 9.00 pagi, Rabu lepas dengan tujuan asal untuk mengesan lot tanah yang dalam proses permohonan rizab melibatkan peserta dari Kampung Marasak dan Kampung Sodomon.

“Bagaimanapun, empat daripada mereka membawa senapang buatan sendiri dipercayai ‘bakakuk’ untuk tujuan memburu.

“Kira-kira pukul 6.00 petang mangsa dan seorang lagi rakannya naik ke bukit untuk meninjau kawasan yang hendak disukat sambil membawa senjata. Tidak lama kemudian, suspek dengan membawa selaras senapang menyusul dari belakang menuju ke arah bukit yang sama,” katanya.

Beliau dimaklumkan, suspek melepaskan satu das tembakan dari arah cerun bukit kerana menyangka mangsa adalah binatang liar menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi rakan mangsa mengalami luka di peha kerana terkena kesan tembakan.

Suspek bersama-sama rakan yang lain kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau,  tambah Zaini yang mengesahkan enam laras ‘bakakuk’ dan 27 butir peluru dirampas dalam kedua-dua kes berkenaan, manakala kedua-dua suspek ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Tags
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button
Close
Close