PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) agensi peneraju ekonomi digital negara, mengumumkan pelancaran Cabaran Pencipta Kandungan Digital atau Digital Content Creators Challenge (DC3) 2023.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2006, DC3 telah menjadi platform di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang berjaya menawarkan pembiayaan awal kepada pencipta kandungan kreatif. Matlamatnya adalah bagi mewujudkan portfolio atau harta intelek (IP) yang boleh menarik perhatian pelabur dan penerbit dalam sektor penyiaran bagi mendapatkan pembiayaan selanjutnya.
Untuk rekod, sehingga kini, MDEC telah membiayai sebanyak 372 projek dan mengagihkan sejumlah RM15.8 juta hadiah wang kepada pemenang. DC3 adalah program berasaskan pertandingan yang direka untuk membantu pencipta kandungan dalam membangun dan menghasilkan kandungan digital bertaraf dunia di samping meningkatkan penciptaan harta intelek negara.
Kandungan digital telah dikenalpasti sebagai salah satu daripada sembilan sektor yang digalakkan di bawah inisiatif strategik nasional, Malaysia Digital (MD).
Pemenang DC3 2023 akan menerima hadiah wang untuk membangunkan kandungan kreatif digital yang dicadangkan, dengan sokongan pakar industri melalui program bimbingan. Ini sekali gus menjadi pemangkin buat bakat-bakat tempatan untuk menembusi pasaran tempatan dan juga global.
“Di kala kita sedang menuju ke arah masa depan yang semakin digital, peranan pencipta kandungan dalam membentuk pengalaman dan naratif kolektif, tidak boleh dipandang remeh. DC3 2023 mempamerkan kreativiti, daya tahan dan potensi pencipta kandungan digital berkualiti tinggi di Malaysia. MDEC berbesar hati untuk menyokong dan memperjuangkan inisiatif ini, memupuk ekosistem pencipta kandungan kreatif yang semakin berkembang maju demi memacu inovasi dan pertumbuhan industri kreatif Malaysia, ” kata Ts. Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.
Pertandingan ini terbuka kepada syarikat-syarikat pencipta kandungan digital tempatan dan dibahagikan kepada empat kategori iaitu Komik Digital, Animasi, Media Interaktif dan Permainan Digital.
Di bawah kategori Komik Digital, pemenang akan menerima hadiah wang tunai sehingga RM25,000 dan enam bulan untuk menyiapkan projek mereka. Sementara itu, pemenang bagi kategori Animasi pula akan menerima hadiah wang tunai sehingga RM100,000 dan lapan bulan untuk menyiapkan projek mereka manakala bagi kategori Media Interaktif dan Permainan Digital pula masing-masing akan menerima wang tunai sehingga RM100,000 dan tempoh selama sepuluh bulan untuk menyiapkan projek mereka.
Antara projek DC3 yang terkenal termasuk “Legends of Ancient Borneo” by All for One Productions, yang menerima pengiktirafan sebagai Filem Animasi Digital Terbaik menerusi Anugerah Filem Digital Malaysia 2019 dan Filem Pendek Animasi Terbaik dalam Great Message International Film Festival 2019. Projek berkenaan kini dalam pembangunan awal untuk siri animasi, menyasarkan untuk melengkapkan pengeluarannya pada tahun ini. Ini adalah filem animasi pertama dalam bahasa Kadazan dan salah satu cara untuk memberi penghormatan kepada warisan dan budaya Sabah.
Sementara itu, Cramped Death by Wombatman Games merupakan finalis bagi kategori Reka Bentuk Terbaik dalam Anugerah Pertunjukan Permainan Indie seperti yang dipaparkan dalam Taipei Game Show 2020. Permainan ini telah dilancarkan dan diterbitkan dalam Steam dan Nintendo Switch baru-baru ini.
Permohonan untuk menyertai DC3 kini dibuka sehingga 5 Mei 2023. Layari https://mdec.my/dc3 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. – SM
Artikel berkaitan > MDEC sasar 80,000 nomad digital datang ke Malaysia