Uncategorized

Agong, Permaisuri berkenan lawat bazar Peringgit

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli melawat Bazar Ramadan Peringgit, Melaka di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tiba kira-kira pukul 4.45 petang disambut Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd. Rustam bersama isteri, Toh Puan Asmah Ab. Rahman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Nordin; Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari.

Sejurus tiba baginda meluangkan masa hampir sejam membeli juadah berbuka puasa dan turut meluangkan masa bermesra dengan pengunjung selain ada antaranya sempat berswafoto dengan baginda berdua.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak melepaskan peluang membeli pelbagai juadah berbuka puasa seperti satar, otak-otak, lauk-pauk, kuih-muih dan sebagainya di setiap gerai jualan yang disinggah.

Kira-kira 1,000 pengunjung berada di bazar berkenaan untuk melihat dari dekat baginda berdua yang menjadi tetamu istimewa di sini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya dijadual berangkat menghadiri majlis pemasyhuran Masjid Ar-Razzaq dan majlis berbuka puasa di Pasir Puteh, Bachang di sini.

Terdahulu, Seri Paduka berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam menggunakan pesawat khas pada 11.56 pagi tadi bagi memulakan lawatan dua hari ke Melaka. – SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button