Politik

MB Perak diminta henti bermain politik

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu diminta berhenti bermain politik dan menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, UMNO telah mengelak daripada mengeluarkan kenyataan politik bagi membolehkan kerajaan negeri fokus sepenuhnya dalam mendepani impak Covid-19.

Tetapi katanya, apa yang dilakukan UMNO itu tidak dihargai dengan baik sebaliknya Faizal dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa merendah-rendahkan UMNO dengan tindakan yang membelakangi semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati yang dipersetujui ketika Bersatu, UMNO dan Pas membentuk kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu merujuk kepada penjelasan Faizal mengenai pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim sebagai setiausaha politik beliau.

“Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila beliau melantik seorang dari ADUN UMNO tetapi beliau sendiri telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak perlu mendapat kebenaran daripada parti UMNO,” kata Saarani dalam satu kenyataan.


Kenyataan Saarani itu dipercayai merujuk kepada ulasan Faizal berkaitan pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim sebagai setiausaha politik Menteri Besar Perak itu.

Pelantikan Aznel itu dikatakan mengecewakan UMO Perak kerana ia dibuat tanpa kebenaran Pengerusi UMNO negeri.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan berkata, dalam perjanjian bertulis ketika membentuk kerajaan negeri ada dinyatakan, perlu ada saling hormat menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain.

“Sewajarnya, pelantikan mana-mana ADUN atau pemimpin UMNO dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.

“Harus diingat, kerajaan negeri Perak hari ini dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman ‘politik yang tidak sihat’. Tanpa semangat setiakawan kestabilan politik negeri ini akan terancam,” katanya.

Beliau mendakwa persefahaman dan perjanjian ketika pembentukan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) sudah tidak dihormati.

“Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Katanya lagi, jika UMNO tamak kuasa, parti itu tidak akan menyokong Faizal ketika kerajaan dibentuk walaupun mereka mempunyai perwakilan paling banyak di DUN.

“Hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang,” tegas beliau. – SM

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button