fbpx
Nasional

MB Johor tegaskan Nur Dinie Damia negatif influenza A

MENTERI Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini sekali lagi menegaskan kanak-kanak perempuan, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, yang meninggal dunia, Isnin lepas, negatif bagi jangkitan Influenza A.

Dr Sahruddin berkata ia berdasarkan keputusan ujian yang dilakukan pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) terhadap kanak-kanak berumur tujuh tahun itu.

“Kita dapat (keputusan ujian) daripada HSA memang negatif. Jadi, kenyataan kita adalah berpandukan HSA.

“Kalau dari swasta, saya tidak mahu komen. Saya berpandukan data klinikal daripada HSA,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Peringkat Negeri Johor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia, di sini.

Kenyataan dikeluarkan Dr Sahruddin itu sekali gus memberi jawapan kepada kekecewaan salah seorang anggota keluarga kanak-kanak berkenaan, menerusi Facebook, yang seakan mendakwa Allahyarham memang mengidap Influenza A.

Menteri Besar Johor dalam pada itu turut menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan jangkitan influenza yang sedang melanda ketika ini kerana ia merupakan penyakit biasa yang berlaku terutamanya pada hujung tahun.

“Influenza ataupun selsema adalah kes yang biasa terutamanya pada bulan 11 (November) hingga bulan 3 (Mac) berikutan keadaan cuaca dan masyarakat kita akan melancong pada hujung tahun,” kata beliau yang turut menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan diri.

Nur Dinie Damia, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati, meninggal dunia di HSA pada 10.48 malam, Isnin lepas.

Sebelum itu, kanak-kanak berkenaan mendapat rawatan di HSA sejak 10 Januari selepas disyaki dijangkiti influenza, namun, disahkan negatif daripada penyakit itu pada petang Ahad.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat Darat, Kampung Kayu Ara Pasong, dekat Pontian, Selasa. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button