JenayahNasional

Mayat wanita mangsa bunuh terbakar ditemukan di tepi sungai

MAYAT seorang wanita dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu di Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar, Perak, pada kira-kira pukul 3.05 petang.

“Pihak polis daerah Kuala Kangsar hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak turut ada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa yang dipercayai dibunuh dan dibakar di tempat sama itu adalah seorang wanita berdasarkan penelitian keadaan fizikalnya, katanya.


Bagaimanapun beliau berkata, identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti.

Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Mohd Subkey Alias menerusi talian 013-9285436. – SM

 

(Visited 109 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button