Nasional

MASTI dan PRAGMATIS ceriakan anak yatim, sambut aidilfitri bersama

NILAI – Menjelang beberapa hari lagi umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, keprihatinan terhadap insan-insan yang kurang bernasib baik tidak dilupakan bagi memastikan mereka turut diraikan untuk menyambut lebaran. Mengambil keberkatan di penghujung bulan Ramadan, Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) dan Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas (PRAGMATIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkongsi rezeki dan kegembiraan meraikan kedatangan Aidilfitri 1443H bersama 50 orang anak-anak yatim baru-baru ini.

Program Ramadan Santuni Anak Yatim oleh MASTI dan PRAGMATIS secara tidak langsung menjadi platfom untuk menyantuni anak-anak kecil dari Pertubuhan Anak Yatim Baitul Baroqah Ummul Qura, Bandar Enstek, Negeri Sembilan ini dengan lebih dekat. Diraikan dalam satu majlis di Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM, ia turut dihadiri Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Al-Bakri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah USIM dan Datuk Muhammad Haizuan Rozali selaku Pendaftar USIM.

Menurut Raja Shah Erman Raja Arifin selaku Presiden MASTI, program yang mendapat kerjasama dari PRAGMATIS USIM selaku peneraju utama merupakan salah satu inisiatif persatuan bagi menghidupkan kemeriahan bulan Ramadan.

“Ia juga menjadi satu medium bagi mengikat ukhwah dan solidarti dalam kalangan ahli-ahli MASTI, PRAGMATIS dan persatuan pentadbir dalam kalangan Universiti Awam yang terlibat untuk meraikan dan menyantuni anak-anak yatim sebagai salah satu perkara yang dituntut di dalam agama Islam”.

“Tambahan pula ia dilaksanakan dalam bulan yang penuh dengan keberkatan serta dijanjikan dengan limpahan pahala berlipat kali ganda atas setiap amal kebajikan yang ditunaikan”.

“Moga dengan sedikit kegembiraan yang kami berikan kepada anak-anak yatim yang bersama dalam majlis ini dapat meringankan beban mereka, mengangkat kesusahan, membuang kehibaan dan membenih perasaan sayang menyayangi antara satu sama lain” ujarnya.

Dalam majlis ini juga, Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Al-Bakri juga turut menitipkan nasihat dalam sesi tausiah yang disampaikan olehnya kepada para jemputan berkaitan besarnya hikmah dan ganjaran oleh Allah SWT kepada orang Islam apabila menjaga kebajikan dan hak-hak anak-anak yatim.

Antara pihak lain yang turut sama memberi sumbangan bagi meraikan anak-anak yatim dalam majlis tersebut adalah Persatuan Pegawia Tadbir dan Iktisas (PEKERTI) Universiti Malaya, Persatuan Pentadbir Universiti Teknologi Mara dan Global Peace Malaysia (GPM). Selain menerima duit raya dan barangan, kanak-kanak ini turut menjadi tetamu cilik apabila turut bersama menyertai Majlis Iftar Perdana USIM bersama Pengurusan dan warga kampus yang berlangsung selepas itu.

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button