BeritaEkonomi

Mara mahu hentikan pelaburan, tutup perniagaan

MAJLIS Amanah Rakyat atau singkatannya Mara merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Ia ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama yang diadakan pada tahun sebelumnya.

Secara ringkas, peranan Mara adalah memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan dalam Persekutuan dan lebih penting di kawasan-kawasan luar bandar.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pernah berkata, kerajaan berjanji akan membantu memberi segala keperluan bagi memastikan Mara mencapai kejayaan.

“Oleh kerana Mara menjadi begitu besar, untuk seorang menguruskannya tidak cukup, sebab itu kita cuba agihkan peranan Mara kepada beberapa kementerian.

“Sekarang kita kembalikan kepada satu kementerian sahaja iaitu Kementerian (Pembangunan) Luar Bandar. Saya harap kementerian itu kuat dan sanggup memikul beban yang besar,” katanya.

Lebih meyakinkan, Dr. Mahathir berkata, beliau sendiri akan memastikan bantuan secukupnya diberikan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam mengemudi Mara.

Umum mengetahui bahawa Mara sangat dekat di hati orang Melayu.

Ia diwujudkan sebagai pengganti kepada Lembaga Kemajuan Kampung dan Perubahan (RIDA) yang ditubuhkan oleh British.

Selain bidang pendidikan dengan kejayaan terbesar melahirkan Universiti Teknologi Mara (UiTM), peranan agensi itu juga banyak membantu dalam melahirkan usahawan Melayu.

Di sebalik janji-janji Perdana Menteri untuk memperkukuhkan Mara, hari ini kita mendengar berita yang agak mengusarkan orang Melayu.

Pengerusi Mara, Dr. Hasnita Hashim dilapor membayangkan bahawa agensi yang mengangkat martabat bumiputera itu tidak harus lagi terlibat dalam perniagaan dan pelaburan.

Hasrat tersebut dikatakan telah disampaikan kepada Dr. Mahathir menerusi sepucuk surat.

Alasan yang diberikan – Mara tidak sepatutnya melabur dalam perniagaan dan kerajaan tidak pernah memperuntukkan dana bagi tujuan itu.

Menurut beliau, Mara hanya menggunakan dana yang dikutip daripada pelajar dan pinjaman perniagaan untuk melabur dalam perniagaan dan perkara itu dilihat bukan dalam kecekapannya.

Justeru, Mara harus menumpukan hanya pada pendidikan dan pembangunan usahawan dan melepaskan pelaburannya dalam perniagaan.

Mungkin bagi sesetengah pihak, tindakan yang bakal diambil ini sebagai langkah terkebelakang.

Ini kerana perniagaan dan pelaburan dilihat pendekatan terbaik bagi menjana keuntungan, sekali gus memperkasakan sesuatu agensi itu.

Namun, mungkin ramai yang tidak memikirkan tentang kesan kerugian bakal ditanggung sekiranya perniagaan atau pelaburan itu gagal.

Dalam hal ini, cadangan untuk mengeluarkan Mara daripada ‘beban’ ini mungkin realistik.

Pun begitu, ada juga yang meragui tindakan ini.

Bagi mereka, adalah lebih bijak sekiranya Mara mencari tenaga pakar dalam bidang perniagaan dan pelaburan sebagai persediaan untuk tidak terlalu bergantung kepada dana kerajaan.

Ini kerana kerajaan hanya dapat menyalurkan dana berdasarkan kemampuan semasa sedangkan Mara sebagai agensi terpenting bumiputera dan orang Melayu, memerlukan peruntukan mencukupi untuk berdaya saing.

Benar, sama ada pihak yang menyokong mahu pun yang menentang hasrat ini tentunya mempunyai alasan masing-masing. Apa pun diharapkan setiap keputusan yang dibuat tidak terus meletakkan masa depan bumiputera dan orang Melayu semakin jauh dalam kesamaran.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button