Luar Negara

Mampukah PAP kekalkan mojoriti besar esok?

PARTI Tindakan Rakyat (PAP) berkemungkinan besar mengekalkan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Singapura esok.

Tetapi sama ada ia akan mengekalkan majoriti besar dalam Parlimen hanya akan diketahui selepas pengundian.

Semua itu terletak dalam tangan  2.65 juta pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka itu antara 8 pagi hingga 8 malam esok di 1,100 pusat mengundi dalam 31 kawasan pilihan raya.

PAP memenangi 83 daripada 89 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya umum lepas pada 2015, dengan Parti Pekerja menguasai baki enam kerusi itu.

Dalam pilihan raya kali ini, terdapat 93 kerusi dipertaruhkan. Memenangi 47 kerusi sudah memadai untuk PAP menang majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

PAP menggesa rakyat memberikannya mandat kukuh untuk mengharungi krisis dicetuskan pandemik COVID-19 yang bukan sahaja menjejaskan Singapura tetapi juga seluruh dunia.

Parti itu telah menggariskan perancangannya dalam manifesto, khususnya untuk mengekalkan dan mewujudkan kerja dan pada masa yang sama memulakan semula ekonomi yang terkesan oleh impak COVID-19 dan bagaimana untuk memastikan rakyat Singapura dan pekerja migran selamat, dan mencegah COVID-19 daripada menjejaskan sistem penjagaan kesihatan republik itu.

Dalam pilihan raya kali ini, PAP akan menentang dua parti pesaing utamanya iaitu Parti Pekerja dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang baru ditubuhkan.

Menjadi tumpuan adalah enam kerusi yang sebelum ini dikuasai Parti Pekerja serta GRC (kawasan perwakilan kumpulan) Pantai Timur dengan ketua PSP Dr Tan Cheng Bock, 80, bertanding.

GRC itu meliputi sebahagian kawasan Ayer Rajah yang pernah diwakilinya yang ketika itu beliau merupakan Ahli Parlimen PAP dari Disember 1980 hingga Mei 2006.

Adakah popularitinya akan mampu menarik undi? Untuk rekod, Dr Tan bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2011, tetapi kalah tipis 0.35 peratus berbanding undi yang diraih pemenangnya Dr Tony Tan.

Berikutan pilihan raya diadakan ketika berlakunya pandemik COVID-19, semua 11 parti yang bertanding  mempunyai peluang saksama untuk berkempen menerusi maya.

Pengundi  mempunyai akses tanpa had terhadap pandangan setiap parti untuk membuat keputusan mengundi siapa esok.

Parti Pekerja meletakkan 21 calon di enam kawasan pilihan raya manakala PSP mempunyai 24 calon di sembilan kawasan.

Parti politik lain iaitu Singapore Democratic Party, Peoples Voice, National Solidarity Party, Reform Party, Singapore People’s Party, People’s Power Party, Red Dot United dan  Singapore Democratic Alliance, masing-masing meletakkan sejumlah kecil calon.

Satu-satunya calon Bebas bertanding di  SMC (kawasan pilihan raya anggota tunggal) Pioneer, satu-satunya SMC yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ini.

Tiga lagi membabitkan pertandingan tiga penjuru adalah di GRC Pasir Ris-Punggol. – BERNAMA

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button