fbpx
Nasional

Malaysia berada di landasan tepat ke arah status negara maju

PENINGKATAN bilangan syarikat yang beroperasi dalam sektor perdagangan borong dan runcit ditambah dengan penggunaan internet tinggi dalam kalangan syarikat tersebut menunjukkan Malaysia sedang bergerak ke arah status negara maju, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Memetik Laporan Awal Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 (WRC 2019) yang dilancarkan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan syarikat yang beroperasi dalam perdagangan borong dan runcit berkembang 4.8 peratus kepada 468,930 pada 2018 daripada 370,725 pada 2013.

“Peratusan penggunaan Internet dalam kalangan syarikat meningkat kepada 83.4 peratus pada 2018 daripada 72.2 peratus pada 2013,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Laporan Awal WRC 2019 itu, di Kuala lumpur, hari ini.

Mengenai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, Mohd Uzir berkata 89.6 peratus atau 420,380 syarikat menggunakan komputer dalam perniagaan dalam sektor borong dan runcit pada 2018, dengan penggunaan komputer meningkat kepada 89.6 peratus pada 2018 daripada 85.5 peratus pada 2013.

“Ini susulan peningkatan aktiviti e-dagang termasuk penubuhan syarikat berkaitan e-dagang di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai pertumbuhan syarikat sektor perdagangan borong dan runcit, beliau berkata ia membawa kepada lonjakan hasil yang dijana dalam sektor tersebut, meningkat 8.2 peratus setahun kepada RM1.32 trilion pada 2018 berbanding RM893.2 bilion pada 2013.

“Sub-sektor perdagangan borong merupakan penyumbang tertinggi kepada keseluruhan hasil perdagangan borong dan runcit pada 2018, menyumbang 50.9 peratus atau RM672.4 bilion, diikuti perdagangan runcit (37.4 peratus atau RM494.9 bilion) dan kenderaan motor sebanyak 11.7 peratus atau RM154.4 bilion,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, pertumbuhan dalam syarikat sektor perdagangan borong dan runcit akan kemudiannya membantu meningkatkan sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada sektor perkhidmatan.

Sementara itu, laporan awal tersebut juga menunjukkan bilangan pekerja dalam sektor perdagangan borong dan runcit meningkat 3.3 peratus setahun kepada 2.0 juta orang pada 2018, dengan gaji dan upah yang dibayar sebanyak RM62.8 juta, meningkat 10.0 peratus setahun daripada 2013.

Nilai aset tetap perdagangan borong dan runcit yang dimiliki pada 2018 berjumlah RM134.9 bilion berbanding RM80.6 bilion pada 2013, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan 10.8 peratus.

Mengikut negeri, Mohd Uzir berkata Selangor terus mendominasi bilangan syarikat borong dan runcit sebanyak 94,857 pada 2018, meningkat 6.9 peratus berbanding 2013, diikuti Kuala Lumpur (71,433) dan Johor (46,530).

“Dari segi jumlah hasil perdagangan borong dan runcit , Kuala Lumpur mencatatkan nilai tertinggi berjumlah RM391.6 bilion (naik 29.6 peratus), diikuti Selangor (RM371.7 bilion; meningkat 28.1 peratus) dan Johor (RM101.1 bilion; naik 7.6 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata Laporan Awal WRC 2019 itu yang dikendalikan antara Mac hingga September tahun ini bagi syarikat berdaftar, perniagaan dalam perdagangan borong dan runcit dan kenderaan motor di seluruh Malaysia, boleh digunakan untuk mengukur daya saing pemain industri dalam sektor tersebut.

“Selain itu, ia juga akan membantu kerajaan dalam merangka dasar yang relevan sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Ketika ini, sektor perkhidmatan menyumbang kira-kira 56 -57 peratus kepada KDNK negara manakala segmen perdagangan borong dan runcit yang menjadi tonggak bagi sektor perkhidmatan, menyumbang 16.7 peratus kepada KDNk.

“Kita akan berusaha mencapai kepada 60 peratus, dan ia dijangka akan dicapai dalam masa beberapa tahun yang akan datang,” katanya, sambil menambah negara maju biasanya dikaitkan dengan sektor perkhidmatan sebagai tulang belakang kepada penumbuhan ekonomi negara.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button