Politik

Malaysia baharu, tetapi politik masih ditakuk lama

SUARAMERDEKA: Apabila reformasi berlaku di Indonesia pada tahun 1998 dan kerajaan Suharto berjaya ditumbang, negara berkenaan tidak lagi menoleh ke belakang dan terus melakukan reformasi seluruh negara itu termasuklah sistem politiknya.

Lihatlah Presiden Jokowi yang mengenepikan egonya selepas menang untuk penggal kedua dan terus menawarkan jawatan Menteri Pertahanan kepada lawannya Prabowo Subianto. Ia semata-mata untuk mengembalikan keharmonian negara yang berada lebih atas daripada kepentingan diri sendiri.

Indonesia terus mengehadkan jawatan Presiden hanya boleh dipegang untuk dua penggal sahaja oleh seseorang, sedangkan di Malaysia masalah plan penyerahan kuasa Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Begitu juga pilihan raya di Indonesia dianggap sebagai satu pesta demokrasi yang diraikan dengan harmoni. Para pengundi tidak digula-gulakan atau didedak-dedakkan dengan janji-janji projek pembangunan serta bantuan yang datang pada musim pilihan raya. Sebaliknya pemimpin parti hanya akan menyatakan misi dan visi mereka jika dipilih memerintah negara.

Di Malaysia walaupun Pakatan Harapan mengambil-alih tampuk kepimpinan negara dengan gagasan Malaysia Baharu, tetapi mereka jugalah yang menjilat ludah sendiri dan mengambil langkah terkebelakang di dalam banyak hal dan yang paling ketara ketika berdepan dengan pilihan raya kecil sebagai mana yang berlaku di Tanjung Piai.

Jika dahulu mereka mengecam Barisan Nasional (BN) sebagai menabur dedak semasa pilihan raya, mereka seolah-olah menjilat ludah mereka dan turut mengulangi perbuatan tersebut yang mereka anggap sebagai taktik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Pelbagai alasan diberi bagi menutup cara mereka kononnya untuk penuhi hasrat arwah, sudah berjanji dari dulu dan alasan paling klise adalah nak bantu rakyat.

Selepas ni akan mula pula sandiwara rumah ke rumah pengundi dengan alasan hendak beri sedekah. Masalahnya, janji di pilihan raya kecil yang dahulu pun masih banyak tidak ditunaikan dan di mana janji untuk membina hospital di Semenyih dan apakah mungkin ia akan berpindah pula ke Tanjung Piai.

Jika beginilah sikap kerajaan hari ini, maka sia-sialah majoriti rakyat memberi undi kepada mereka dengan harapan perubahan dibawa kepada politik negara ini dan para pemimpin politik akan lebih dihormati dan bukan hanya sebagai pelakon sandiwara tetapi benar-benar berkhidmat untuk rakyat.

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button