fbpx
Politik

Zainal Kling dipanggil Bukit Aman berhubung Kongres Maruah Melayu

KETUA Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Zainal Kling dipanggil ke Bukit Aman Jumaat ini untuk diambil keterangan berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam 6 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, Zainal dipanggil berikutan laporan polis pegawai khas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, baru-baru ini.

Keterangan pengadu telah diambil dan polis juga sudah berhubung dengan Zainal.

“Kita akan semak penganjur kongres ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Antara bahagian ucapannya yang menarik perhatian orang ramai apabila beliau dilapor berkata Malaysia negara orang Melayu.


Huzir berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu BERNAMA melaporkan, Pemilik akaun Twitter Navin Pillai kini disenarai sebagai orang dikehendaki polis.

Individu berkenaan sebelum ini dilaporkan memuat naik gambar Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kapsyen jelik.

Huzir berkata semakan mendapati individu itu keluar dari negara ini sejak 2007 dan disyaki kini berada di New Zealand.

“Tetapi kami tidak mendapat bantuan dari negara itu kerana tidak menjadi kesalahan di luar negara.

“Oleh itu, Navin diletakkan dalam senarai ‘wanted’ dan apabila dia kembali ke negara ini, tindakan akan diambil atau boleh dituduh,” katanya.

Sebelum ini, polis menerima dua laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Jalan Tun Razak dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button