Nasional

Makna kepulangan abu mayat ketua pengganas komunis Chin Peng

AKHIRNYA abu mayat ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng berjaya juga dibawa masuk ke Malaysia selepas bertahun-tahun sejak dia hidup dalam buangan dan selepas kematiannya enam tahun lalu kerana dihalang oleh mereka yang masih mengingati keganasan yang dilakukan beliau dan rakan-rakan komunisnya.

Abunya dilaporkan telah ditabur ke laut berhampiran lumut di Perak dan di kawasan hutan di Setiawan.

Abu mayat ketua pengganas paling ditakuti di Malaysia atau Malaya suatu ketika itu dikatakan dibawa masuk ke Malaysia dari Thailand pada 16 September lalu iaitu pada tarikh rakyat Malaysia sedang meraikan Hari Malaysia.

Chin Peng yang tinggal dalam buangan di Thailand meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September 2013 pada usia 90 tahun. Pada 16 September lalu genap enam tahun bekas ketua pengganas komunis PKM itu meninggal dunia.

Mungkin kerana tarikh kematiannya itu,  Kumpulan Pengurusan Abu Mayat Chin Peng memilih untuk membawa masuk abu bekas ketua pengganas itu pada saat rakyat Malaysia meraikan hari bersejarah mereka pada 16 September lalu.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Setiawan,  Perak pada 1924.  Dia meninggal dunia akibat sakit tua. Chin Peng diburu kerana keganasan yang dilakukan PKM yang diketuainya hingga menyebabkan negara tidak tenteram dan ramai rakyat Malaysia terbunuh.

Bekas Setiausaha Agung PKM itu tidak lagi diburu dan terus menetap di Thailand selepas menandatangni perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1989.

Chin Peng pada awalnya berjuang bersama-sama pasukan Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk menentang pendudukan Jepun di Malaysia. Untuk perjuangan itu dia mendapat anugerah dari kerajaan British.

Namun anugerah tersebut ditarik balik apabila PKM di bawah pimpinannya menyasarkan tentera British yang kembali ke Malaya selepas Jepun menyerah diri.

Kemuncak keganasan komunis menyebababkan perintah darurat diumumkan pada 16 Jun 1948 selepas PKM menyerang dan membunuh tiga pengurus ladang British. Darurat yang berlanjutan sehinga tahun 1960 menyaksikan beribu nyawa rakyat Malaysia mati di tangan PKM pimpinan Chin Peng.

Kekejaman komunis diingati oleh mereka yang hidup pada zaman itu dan diceritakan kepada generasi kemudian untuk menyedarkan mereka tentang kekejaman dan kejahatan yang dilakukan komunis semasa zaman darurat.

Aapabila perintah darurat ditarik balik Chin Peng serta pengikutnya melarikan diri ke Selatan Thailand. PKM hanya meletakkan senjata pada tahun 1989 selepas perjanjian damai antara PKM dan kerajaan Malaysia ditandatangani.

Beberapa pemimpin PKM seperti Shamsiah Fakeh dibenarkan pulang namun Chin Peng dan ramai lagi termasuk Rashid Maidin dan Abdullah CD tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke Malaysia.

Sebelum Chin Peng meninggal dunia dan sakit tua, beberapa pihak termasuk bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas Tan Sri Yuen Yuet Leng pernah meminta kerajaan pada waktu itu untuk membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia.

Namun permintaan itu dibantah keras oleh rakyat terutama mereka yang mempunyai waris yang pernah diseksa oleh komunis serta mereka yang terlibat dalam perjuangan menentang komunis.

Pada 30 Novermber 2014, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan abu mayat bekas setiausaha agung PKM itu dibawa balik ke Malaysia.

“Kalau Chin Peng seorang yang mahu dihormati, bagaimana dengan saudara mara dan anak beranak kepada polis dan tentera yang telah dibunuh oleh pengganas komunis akibat individu itu.

“Saya tidak emosi dalam perkara ini, tapi berapa ramai yang mati berbanding mahu menghormati yang seorang ini (Chin Peng),” kata Ahmad Zahid ketika itu. Ahmad Zahid mengulas laporan Pengerusi Setiakawan Malaysia Abad ke-21, Lee Huck Tee yang mendesak agar kerajaan membenarkan mayat atau abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.

Sejak penegasan Ahmad Zahid itu tiada lagi suara yang mendesak kerajaan membenarkan abu mayat ketua pengganas komunis Chin Peng di bawa pulang.

Hari ini di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan, pengganas yang paling ditakuti suatu ketika dahulu dan dibantah kehadirannya biarpun dalam bentuk mayat atau abu, telahpun berjaya dibawa masuk.

Abunya telah ditabur di laut dan kawasan hutan di Malaysia iaitu di negara dan rakyatnya yang akan terus mengingati kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh Chin Peng dan rakan-rakan komunisnya.-SM

 

 

(Visited 416 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button