Berita

MAIPs tingkatkan penulisan dan dokumentasi sebagai khazanah – Raja Muda Perlis

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berhasrat untuk menjadikan agenda mengangkat penulisan dan dokumentasi berkaitan dengannya sebagai keutamaan, dalam meninggalkan khazanah ilmu dan peradaban masa depan.

Usaha ke arah memperbanyakkan penulisan dan dokumentasi berkaitan MAIPs, sama ada secara salinan keras (hard-copy) atau salinan lembut (soft-copy) akan cuba diusahakan oleh MAIPs dengan bersungguh-sungguh bermula tahun ini.

Perkara tersebut telah diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat MAIPs Bilangan 1/2020 yang diadakan di Istana Perlis Kuala Lumpur minggu lalu.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melalui siaran media oleh MAIPs selepas berkenan menyerahkan sumbangan daripada sumber zakat MAIPs kepada salah sebuah masjid tertua di kotaraya Bangkok iaitu Masjid Chakrapong, Talat Yoti Phra Nakhon pada petang semalam.

Sumbangan tersebut yang bertujuan untuk kegunaan aktiviti dakwah, pengajian dan kemasyarakatan masjid berkenaan diserahkan kepada Pegawai Masjid, Prathueang Ritthisa-nga.

Menurut baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs, “Aspek penulisan dan dokumentasi” adalah perkara yang amat penting dalam merakamkan peradaban sesuatu bangsa. Tidak hairanlah apabila bahasa dan tulisan telah menjadi ciri utama dalam membezakan sesuatu tamadun di dunia. Bahasa Yunani dan Sanskrit sebagai contoh, selain penulisan seperti hiegrolif, cuneiform, ideogram dan piktograf telah berjaya meninggalkan peradaban tersendiri yang masih lagi dikaji sehingga ke hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berada di Bangkok selama tiga hari bagi mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategik Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam(UA) Tahun 2020’ dan meluangkan masa untuk singgah solat zohor berjemaah di masjid tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan Komandan Bahagian Pasukan Simpanan Angkatan Tentera DiRaja Thailand, Leftenan Jeneral Prakarn Padavanija.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button