MAIPs terokai ilmu, laksanakan zakat Bitcoin
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sedang giat menerokai ilmu berkaitan aset digital dan pengurusan zakat Bitcoin untuk dilaksanakan di negeri Perlis.
Usaha ini adalah sejajar dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada Julai 2019 lalu yang menetapkan sebarang pemilikan aset digital berupa Bitcoin dikenakan zakat sekiranya ia cukup haul (jangka masa simpanan) dan nisab (kadar yang diwajibkan) di atas sifatnya sebagai Urudh al-Tijarah (barangan dagangan).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkata, buat masa ini, pihaknya menerima bayaran zakat dalam bentuk nilai wang manakala terimaan dalam unit Bitcoin akan dilaksanakan sedikit masa lagi.
“Sebagai antara negeri terawal yang mewajibkan zakat terhadap aset digital Bitcoin, MAIPs sedang memastikan para pegawainya bersedia dengan ilmu dan fasiliti untuk mengurus tadbir aset digital berkenaan,” tegas beliau.
Dalam hubungan itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs bertitah, penularan pandemik wabak Covid-19 telah mencetuskan kesedaran masyarakat terhadap dunia digital.
“Ilmu berkaitan dunia digital semakin berkembang seiring dengan kesan perubahan normal baharu dalam kehidupan manusia kini, dan garapan ilmu tersebut lebih bermakna apabila ia dikaitkan dengan kewajipan dalam agama,” titah baginda merujuk kepada kewajipan zakat aset digital yang diputuskan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat menyempurnakan program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke-17 bagi tahun ini anjuran MAIPs yang bermula dan berakhir di Tasik Melati, Beseri petang semalam.
Anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail turut serta dalam program berkenaan.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta seisi usrah kerabat diraja menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam di negeri ini. – SM