Nasional

MAIPs salur RM8.31 juta bantu 28 institusi pendidikan Islam di Perlis

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM8.31 juta untuk membantu 28 institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama (maahad) di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata peruntukan tersebut diberikan di bawah program ‘Asnaf Fi-Sabilillah’ dan peruntukan tersebut meningkat berbanding tahun lepas sebanyak RM8 juta.

“Diharapkan peruntukan yang disumbangkan ini berupaya membantu pihak sekolah menambah baik bangunan dan operasi mereka dalam melahirkan generasi yang cemerlang di dunia dan akhirat,” katanya kepada media  selepas  majlis Simbolik Sumbangan Peruntukan Tahunan Institusi Pendidikan Islam Negeri Perlis Tahun 2020 oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs hari ini seperti yang dilaporkan BERNAMA.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dr R. Badlishah Ahmad.

Mohd Nazim berkata sebahagian peruntukan  tersebut iaitu sebanyak RM3 juta diserahkan  kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti UniMAP dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perlis.

Dalam perkembangan lain, sebagai langkah permulaan untuk membolehkan ‘Syiar Jumaat’ dihidupkan kembali, Perlis membenarkan Solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini.

Peraturan yang ditetapkan ialah jumlah jemaah termasuk imam/khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang dari tiga orang dengan hanya pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang dibenarkan.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu dalam kenyataan, hari ini, menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Menurutnya Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu tidak dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya.

“Masjid tidak boleh dibuka kepada orang ramai sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan Solat Jumaat ialah pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa masjid sahaja. Jemaah perlu membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekod kehadiran di buku kedatangan.

“Mereka yang berumur 60 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir, selain mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak, selesema serta mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit barah juga tidak dibenarkan,” titah baginda, menurut kenyataan itu. – SM

(Visited 228 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button