Nasional

Perlis benar Solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei

SEBAGAI langkah permulaan untuk membolehkan ‘Syiar Jumaat’ dihidupkan kembali, Perlis membenarkan Solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini.

Peraturan yang ditetapkan ialah jumlah jemaah termasuk imam/khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang dari tiga orang dengan hanya pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang dibenarkan.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu dalam kenyataan, hari ini, menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

jumaat
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Menurutnya Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu tidak dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya.

“Masjid tidak boleh dibuka kepada orang ramai sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan Solat Jumaat ialah pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa masjid sahaja. Jemaah perlu membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekod kehadiran di buku kedatangan.

“Mereka yang berumur 60 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir, selain mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak, selesema serta mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit barah juga tidak dibenarkan,” titah baginda, menurut kenyataan itu.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah mereka yang hadir juga perlu memakai penutup hidung dan mulut dan melaksanakan jarakan sosial sekurang-kurangnya pada jarak dua meter ketika solat.

Selain itu jemaah juga perlu berwuduk sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri, selain solat diutamakan di tempat terbuka seperti di anjung masjid.

Baginda bertitah tempoh bermula azan hingga selesai Solat Jumaat hanya 15 minit dan kontak fizikal seperti berjabat tangan tidak dibenarkan sama ada sebelum atau selepas solat dan semua jemaah perlu beredar dari masjid selepas selesai solat.

Pengerusi masjid dipertanggungjawab memastikan semua syarat dipatuhi dan kegagalan untuk mematuhi semua syarat-syarat akan menyebabkan masjid berkenaan tidak dibenarkan untuk mengadakan Solat Jumaat.

MAIPs mengeluarkan peraturan itu setelah mengambil kira pandangan Jabatan Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Muzakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Kementerian Kesihatan. – BERNAMA

(Visited 488 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button