
MAIPs peruntuk hampir RM4 juta untuk pembangunan pendidikan Perlis
KUALA LUMPUR 17 Mac – Selaras dengan hasrat membina generasi akan datang yang lebih berdaya saing dan berpegang teguh kepada nilai agama dan budaya, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan ‘Sumbangan Peruntukan Bagi Pelaksanaan Sekolah Integrasi Perlis (SIPs)’ berjumlah RM3,921,502 melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Peruntukan ini adalah sebahagian daripada usaha MAIPs dalam memastikan sistem pendidikan di Perlis terus berkembang seiring dengan keperluan semasa, serta membentuk pelajar yang kukuh dari segi akademik dan sahsiah.
Simbolik penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan Pertama Bagi Tahun 2025 yang berlangsung di ibunegara pada sabtu.
Demikian menurut kenyataan MAIPs yang memaklumkan bahawa dalam sesi tersebut Tuanku Raja Muda menitah sarankan supaya, dalam memperkukuh adat istiadat, adalah penting untuk diperbanyakkan program-program kesedaran dan pendidikan yang lebih menyeluruh dan berimpak. Penganjuran seminar, bengkel dan dialog bersama generasi muda perlu dipergiatkan agar mereka terus memahami dan menghayati kepentingan adat dalam kehidupan seharian.
Pada masa yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra menekankan keperluan memperkasa penyelidikan dan dokumentasi Adat Istiadat Melayu Perlis. Usaha ini bukan sahaja bagi memastikan warisan ini tidak pupus ditelan zaman, malah dapat menjadi rujukan yang sahih bagi generasi akan datang dalam memahami asal-usul dan keunikan budaya yang diwarisi.
Baginda turut berharap agar MAIPs dan seluruh agensi bersamanya terus bersemangat, bermotivasi serta memperkukuh kerjasama strategik dalam melaksanakan program-program yang dapat menarik minat golongan muda untuk memahami dan menghayati adat istiadat Melayu.
Foto : Ihsan MAIPs