MAIPs berusaha laksana amanah sebaik mungkin dalam situasi pandemik
Berhadapan penularan tempatan Covid-19 menyaksikan pelbagai kesan terhadap kesihatan, keselamatan, ekonomi, pendidikan, bahkan mengubah kebiasaan aktiviti dalam kehidupan.
Sebagai agensi yang diamanah mentadbir dan mengurus pentadbiran hal ehwal Islam di Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan terus berusaha melaksanakan ikhtiar terbaik dalam menyempurnakan segala perkhidmatannya.
Sebagai contoh, melalui MAIPs, di atas limpah perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, negeri ini telah mengambil langkah awal menangguhkan solat jumaat pada 13 Mac 2020 yang lalu dalam usaha menyekat penularan virus COVID-19 walaupun menimbulkan kontroversi namun akhirnya langkah berkenaan turut dilaksanakan oleh seluruh dunia.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyertai program ‘MAIPs Peduli Bilangan ke 6 Bagi Tahun 2021’ yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Al-Muqarrabin Behor Empiang, Kangar.
Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut Tuanku Raja Muda, “Sebagai rakyat, kita perlu saling berganding bahu memerangi wabak ini serta terus menghargai jasa setiap barisan hadapan baik di negeri ini mahupun di mana sahaja mereka berada kerana ketahuilah bahawa pengorbanan mereka tidak mampu untuk dibalas dan memerangi Covid-19 ini adalah tanggungjawab bersama”.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, “Kita semua sedar dan maklum bahawa bukan sesuatu perkara yang mudah untuk mengenakan pakaian PPE yang pastinya ‘menyiksakan’ kerana perlu dipakai selama berjam-jam, dengan keadaan yang panas, melekit, berpeluh dan tidak selesa sama sekali, tetapi semua ini dilakukan demi keselamatan diri dan masyarakat umum”.
Bersempena program pada kali ini, tiga buah lagi rumah keluarga asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan disantuni baginda bagi menyerahkan bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs.
Untuk rekod, tahun 2020 yang lalu begitu bersejarah bagi MAIPs kerana telah mencapai usia 1 kurun sejak ditubuhkan pada 1920 dan masih kekal relevan kepada ummah sehingga ke hari ini.